Muda perlu buat permohonan rasmi hasrat sertai PH

Halimey
Halimey
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) perlu membuat permohonan rasmi kepada Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) untuk menyertai gabungan itu.

Ketua Penerangan PKR Selangor, Halimey Abu Bakar berkata, keputusan sama ada menerima atau menolak permohonan itu perlu mengambil kira pandangan akar umbi khususnya dari Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Menurutnya, Muda terlebih dahulu perlu memberikan penjelasan terhadap beberapa tindakan dilakukan parti itu sebelum ini yang telah menimbulkan kemarahan ahli PKR.

"Umum mengetahui luka lama masih berdarah akibat tindakan semberono parti itu yang meletakkan calon di Larkin yang menyebabkan pertembungan dengan calon PKR pada PRN Johor.

"Ditambah pula sindiran Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman terhadap Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2014 yang ditularkan semula," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, permohonan Muda untuk bersama PH juga perlu disertai dengan keikhlasan membantu memperkukuh serta memperkuat jentera menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Masih ada banyak ruang kosong terutama di kerusi tradisi UMNO dan Pas yang memerlukan tenaga segar dari parti seperti Muda yang secara terbuka mengumumkan akan bertanding 15 kerusi Parlimen sebelum berunding.

"Berhenti berharap memperoleh laluan mudah untuk bertanding di kerusi dalam negeri yang telah dimenangi PH seperti Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

Artikel Berkaitan:

"Sebaliknya fokus gerak kerja di kawasan pantai timur seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang serta kawasan luar bandar di Sabah

dan Sarawak," jelas Halimey.

Dalam pada itu, beliau menegaskan, Muda juga perlu menyatakan pendirian terhadap Gerakan Tanah Air (GTA) yang diketuai Presiden Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad iaitu parti politik berasaskan kaum yang diketahui secara terbuka menolak calon Perdana Menteri tunggal PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Ini kerana mustahil akar umbi PH akan bekerjasama dengan Muda sekiranya gagal memuktamadkan sokongan secara tuntas terhadap keputusan menamakan calon

Perdana Menteri yang dipersetujui secara kolektif," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!