Speedy Tigers berdepan laluan getir
SKUAD hoki negara berdepan laluan getir apabila diundi bersama gergasi Eropah yang juga naib juara dunia 2018, Belanda bagi saingan Kumpulan C, Hoki Piala Dunia 2023 yang dijadualkan berlangsung di Stadium Kalinga, Bhubaneswar dan Stadium Hoki Antarabangsa Birsa Munda, Rourkela, India, mulai 13 hingga 29 Januari 2023.
Selain Belanda, skuad The Speedy Tigers itu juga bakal berdepan pasukan ranking kelapan dunia, New Zealand dan pasukan sedang meningkat naik, Chile yang melakukan debut pada saingan Piala Dunia kali ini.
Selain itu, saingan Piala Dunia kali ini juga pasti terarah pada saingan Kumpulan B yang boleh dilabel selaku 'kumpulan maut' apabila Juara Dunia edisi 2018, Belgium diundi bersama pasukan ranking kelima dunia, Jerman serta dua gergasi Asia, Jepun dan Korea Selatan.
Malah, kehadiran Belgium dan Jerman berada dalam kelompok lima pasukan terbaik ketika ini, dijangka menjanjikan saingan sengit dalam Kumpulan B.
Saingan Kumpulan D yang menghimpunkan tuan rumah juga pasukan ranking keempat dunia, India bersama England (6) dan Sepanyol (9) dan Wales juga dijangka bakal menarik perhatian.
Malah, aksi Kumpulan A melibatkan pasukan ranking nombor satu dunia, Australia, Argentina (7), Perancis (11) dan Afrika Selatan tidak kurang hebatnya untuk disaksikan pada edisi kali ini.
Secara keseluruhannya, undian kali ini didapati seimbang tanpa ada mana-mana kumpulan yang boleh dilabel selaku 'kumpulan maut' dengan kesemua pasukan bertanding dilihat berpeluang mara ke peringkat seterusnya.
Tumpuan sudah pasti terarah kepada pasukan-pasukan dalam kelompok lima teratas pada ranking dunia ketika ini, seperti Australia, Belgium, Belanda, India dan Jerman.
Bagaimanapun, kemampuan pasukan-pasukan lain tidak boleh dipandang mudah, seperti Chile yang melakukan debut pada Piala Dunia kali ini diramalkan mampu melakukan kejutan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!