Tiada pemilihan semula PKR, tumpu persediaan PRU15

Pemilihan PKR telah selesai sepenuhnya dan kini menumpukan kepada persediaan menghadapi PRU15. (Gambar kecil: Mazli)
Pemilihan PKR telah selesai sepenuhnya dan kini menumpukan kepada persediaan menghadapi PRU15. (Gambar kecil: Mazli)
A
A
A

SHAH ALAM - Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Selangor menafikan dakwaan terdapat beberapa Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) di negeri itu akan melakukan undian semula.

Koordinator Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Selangor, Mazli Saring berkata, pihaknya tidak menerima laporan berhubung perkara itu dan beranggapan dakwaan tersebut sengaja ditimbulkan pihak tertentu untuk memanaskan keadaan.

Menurutnya, pemilihan PKR telah selesai sepenuhnya dan kini menumpukan kepada persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Setakat ini, saya tidak menerima sebarang pemakluman mengenai perkara tersebut, mungkin ada pihak sengaja mencipta cerita panas.

"Kita dah tutup soal pemilihan, telah selesai sepenuhnya dan tiada isu berbangkit. Sementara Kongres PKR yang diadakan selepas itu melibatkan pemilihan peringkat Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan wanita sahaja," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan 53 cabang PKR berdepan dengan pemilihan semula.

Melalui maklumat diterima, kebanyakan cabang terlibat adalah kawasan Selangor termasuk Gombak, Ampang.

Dijangka pengumuman rasmi mengenai perkara tersebut akan dibuat oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Artikel Berkaitan:

Mazli tidak menolak kemungkinan terdapat pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan pemilihan telah bertindak membuat aduan kepada ROS.

Bagaimanapun katanya, JPP tidak menerima sebarang surat daripada ROS mengenai perkara itu dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail akan memberikan kenyataan jika ada sebarang perkembangan mengenainya.

Tegasnya, pemilihan PKR Selangor terakhir diadakan di Hulu Selangor selepas ditangguhkan disebabkan masalah logistik.

"Selain itu, Cabang Ampang dibuat undian semula selepas kemenangan, Daing Muhammad Reduan Bachok dibatalkan kerana terdapat unsur wang semasa pemilihan.

"Jawatan itu kini digantikan Syed Ahmad Abdul Rahman Alhadad atau Altimet," kata beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!