Hubungan Iran-Albania tegang
TEHERAN - Hubungan Iran dan Albania menjadi tegang secara tiba-tiba selepas negara Balkan itu mendakwa Teheran melancarkan serangan siber berskala besar terhadap sistem kerajaan pada Julai lalu.
Iran pada Rabu bagaimanapun menolak tuduhan tersebut yang disifatkan sebagai dakwaan tidak berasas setelah konflik itu turut mendapat perhatian komuniti antarabangsa yang sememangnya menyasarkan Teheran kerana program nuklear yang dibangunkan negara berkenaan.
"Kementerian Luar melihat keputusan terburu-buru itu sebagai tiada pertimbangan dalam hubungan antarabangsa," ujar kementerian itu dalam satu kenyataan.
Tirana bertindak memutuskan hubungan diplomatik dengan Teheran selepas melemparkan tuduhan tersebut yang turut menyaksikan cubaan campur tangan Amerika Syarikat (AS) yang kononnya mahu memastikan akauntabiliti kerana menyasarkan sekutu Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) berkenaan.
Perdana Menteri Albania, Edi Rama mendakwa serangan siber ketika musim panas itu cuba melumpuhkan perkhidmatan awam, memadamkan sistem digital dan menggodam rekod negara yang bertujuan untuk mencetuskan huru-hara serta menggugat keselamatan negara tersebut.
Beberapa hari selepas serangan siber itu dilancarkan, media tempatan melaporkan penggodam telah menerbitkan data peribadi termasuk nama, gambar dan nombor keselamatan anggota pembangkang yang disimpan dalam komputer kerajaan.
Susulan ketegangan yang semakin memuncak, Rama turut mengarahkan diplomat dan kakitangan kedutaan Iran meninggalkan negara itu dalam tempoh 24 jam.
Beberapa jam sebelum mereka keluar dari Tirana, staf di kedutaan tersebut dikatakan bertindak membakar sejumlah dokumen selepas premis itu diarah menutup operasi.
Sejak 2014, hubungan Iran dan Albania dilaporkan dingin setelah Tirana menerima kira-kira 3,000 anggota kumpulan Mujahidin Rakyat Iran (PMOI) yang turut dikenali sebagai Mujahidin-e-Khalq yang telah menetap di sebuah kem berhampiran Durres, sebuah pelabuhan utama di negara itu. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!