Tiga penganggur samun guna parang ditahan
TAWAU - Tiga penganggur ditahan selepas disyaki terlibat dalam kes samun menggunakan parang dalam kejadian di sebuah rumah Kampung Balung Cocos, di sini, pada Rabu.
Semua suspek lelaki tempatan berusia antara 38 hingga 44 tahun ditahan dalam tiga serbuan berasingan di kawasan Inderasabah dan Balung pada jam 6.30 pagi hari yang sama iaitu kira-kira lima jam selepas melakukan jenayah itu.
Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, kesemua suspek ditahan sepasukan polis dari D9 Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.
"Tangkapan itu dilakukan susulan kejadian samun yang dilakukan kira-kira jam 1 pagi ketika mangsa sedang tidur di rumah dan didatangi tiga lelaki tidak dikenali yang bersenjatakan parang.
"Suspek bertindak mengikat tangan dan kaki mangsa sebelum melarikan barangan peribadi milik mangsa termasuk emas yang dianggarkan bernilai RM90,000," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.
Katanya lagi, polis kemudian melancarkan operasi bagi mengesan suspek dan berjaya menahan suspek pertama dalam serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Ladang 60 Inderasabah.
"Dua lagi suspek kemudian berjaya ditahan di dua lokasi berasingan di Kampung Rancangan Batu 22. Kesemua suspek bersama barang rampasan dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.
"Hasil siasatan daripada rekod jenayah lampau, dua daripada tiga suspek terlibat dengan pelbagai jenayah lampau termasuk dadah.
"Suspek pertama pernah ditahan di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah dan Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan suspek kedua pula memiliki rekod jenayah serta dadah di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan, Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960, Seksyen 12(3), Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
Jasmin berkata, pihaknya menyifatkan tangkapan itu berjaya menumpaskan sekumpulan penjenayah yang agresif dan berbahaya di daerah ini.
"Polis akan terus menggiatkan usaha bagi mengesan penjenayah dan pesalah dadah yang lain melalui operasi-operasi menerusi operasi yang dilaksanakan dari masa ke masa," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!