Selangor sasar 40 pingat emas, tiga terbaik Sukma 2022

Amirudin (dua, kiri) menyaksikan Khairuddin (kanan) mengibarkan bendera Selangor sambil ditemani Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri Selangor, Mohamad Nizam Marjugi (kiri) pada Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Negeri Selangor Ke Temasya Sukma 2022 di Dewan Raja Muda Musa Seksyen 7 Shah Alam pada Khamis. Foto: Bernama
Amirudin (dua, kiri) menyaksikan Khairuddin (kanan) mengibarkan bendera Selangor sambil ditemani Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri Selangor, Mohamad Nizam Marjugi (kiri) pada Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Negeri Selangor Ke Temasya Sukma 2022 di Dewan Raja Muda Musa Seksyen 7 Shah Alam pada Khamis. Foto: Bernama
A
A
A

SELANGOR menyasarkan untuk meraih 40 pingat emas dan berada di kedudukan tiga terbaik keseluruhan pada Sukan Malaysia (Sukma) 2022 yang akan dianjurkan di sekitar Lembah Klang bermula 16 hingga 24 September ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sasaran tersebut ditetapkan berdasarkan prestasi semasa atlet dan pencapaian pasukan negeri pada temasya sebelum ini.

"Selepas 2008, kita boleh lihat peluang pasukan yang bertanding adalah sama rata, semua pasukan (kontinjen) ada peluang untuk menang.

"(Tetapi) saya percaya Selangor ada keupayaan kita sendiri. Kita akan cuba yang terbaik, dengan 40 pingat itu (emas) saya percaya kita boleh capai tiga terbaik (keseluruhan)," katanya pada sidang akhbar di Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Negeri Selangor ke Sukma 2022 di Shah Alam pada Khamis.

Beliau berkata, kontinjen Selangor akan diketuai Pengerusi Jawatankuasa Tetap Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan negeri, Mohd Khairuddin Othman.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, bagi atlet yang berjaya memenangi pingat emas, perak dan gangsa masing-masing akan menerima insentif sebanyak RM3,000, RM2,000 serta RM1,000.

"Jika mereka dapat menjadi juara (keseluruhan), kita akan tambah lagi. Bagi mereka yang berjaya pecahkan rekod kebangsaan, kita juga memang sediakan (insentif)," ujar beliau lagi.

Kontinjen Selangor yang pernah menjuarai Sukma sebanyak sembilan kali, menghantar seramai 490 atlet dan 75 jurulatih yang akan mengambil bahagian dalam 30 acara sukan yang dipertandingkan dalam edisi kali ini.

Artikel Berkaitan:

Pada edisi Perak 2018, kontinjen Selangor meraih 47 pingat emas, 68 perak dan 67 gangsa untuk menduduki tempat ketiga keseluruhan.

Pada majlis sama, Amirudin menyerahkan watikah lantikan kepada bapa-bapa angkat pasukan Selangor yang terdiri daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan syarikat-syarikat di bawah kerajaan negeri.

"Bapa-bapa angkat ini berperanan bagi memudahkan pelarasan serta meringankan beban yang dihadapi oleh persatuan-persatuan sukan dalam menghadapi temasya ini," jelasnya.

Venue bagi Sukma kali ini melibatkan empat zon sekitar Lembah Klang iaitu Kuala Lumpur, Bangi (termasuk Nilai dan Putrajaya), Bukit Jalil dan Shah Alam manakala sukan pelayaran dianjurkan di Pusat Latihan Perahu Layar Kebangsaan di Langkawi. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!