MEL22 tawar hadiah berjumlah RM299,500
HASIL sambutanmemberangsangkan tahun lepas, Liga Esukan Malaysia (MEL) dijangka menjadi tumpuan pencinta permainan sukan maya, mulai 12 September hingga 3 Disember ini.
Esports Integrated (ESI) dalam kenyataan memaklumkan, penganjuran edisi 2022 itu yang dikenali sebagai MEL22, menawarkan hadiah berjumlah RM299,500 selain bertujuan menyediakan platform bagi bakat sukan elektronik negara bersaing serta mempamerkan kebolehan mereka.
"MEL22 akan dibahagikan kepada tiga siri iaitu Siri MEL22 Regular yang terdiri daripada Liga Negeri MEL22 dan Kebangsaan MEL22 yang menampilkan tiga tajuk permainan - Mobile Legends: Bang Bang (MLBB), PlayerUnknown’s Battleground Mobile (PUBGM) dan Garena Free Fire (FF).
"Seterusnya, Siri Terbuka MEL22 menampilkan tiga tajuk permainan - Dota 2, FIFA23 dan Valorant, diikuti Para MEL22 dengan tajuk permainan akan diumumkan tidak lama lagi melalui akaun media sosial ESI,” menurut kenyataan itu.
Menurut ESI, Siri MEL22 Regular adalah untuk membolehkan peminat e-sukan di peringkat akar umbi bersaing di peringkat negeri (Liga Negeri MEL22) dan kemudian mewakili negeri mereka di peringkat kebangsaan.
Siri Terbuka MEL22 pula akan menjadi kejohanan terbuka untuk semua pemain dari pelbagai peringkat seperti amatur, separa profesional dan profesional, manakala Para MEL22 adalah kesinambungan kejohanan Orang Kurang Upaya (OKU) ESI, yang memberi peluang kepada peminat sukan elektronik OKU.
Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dalam kenyataan sama berharap, MEL22 mampu meneruskan kejayaan edisi tahun lepas yang menarik penyertaan seramai 50,000 individu serta meraih hampir 1.2 juta tontonan di laman sosial.
Dalam pada itu, Naib Presiden Operasi dan Pertumbuhan ESI Fadzli Rahim percaya penganjuran MEL22 akan menarik lebih ramai peminat, terutama belia, bersaing dan menceburi pertandingan e-sukan tempatan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!