Sukma 2022: Kelantan sasar 13 pingat emas
KONTINJEN Kelantan menyasarkan 13 pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2022 yang dijadual berlangsung di Kuala Lumpur dari 16 hingga 24 September ini.
Exco Sukan negeri, Wan Roslan Wan Hamat berkata, sasaran ditetapkan itu meningkat berbanding hanya enam pingat emas diperoleh pada Sukma Perak 2018.
Menurutnya, sasaran dibuat berdasarkan prestasi semasa atlet menerusi beberapa kejohanan yang mereka sertai sebelum ini.
“Antara sukan yang menjadi tumpuan untuk kontinjen Kelantan meraih pingat emas adalah olahraga, muay thai, ragbi dan sepak takraw.
“Malah persiapan atlet juga dilakukan sejak awal tahun lepas walaupun ketika itu kita berdepan dengan Covid-19,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan bendera kepada kontinjen Kelantan di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (Putik) di Pengkalan Chepa, di Kota Bharu pada Khamis
Majlis tersebut disempurnakan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaakob.
Wan Roslan berkata, seramai 334 atlet Kelantan akan menyertai 27 acara sukan pada Sukma 2022. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!