Baliklah, AS sudah penuh: Trump
CALEXICO - AMERIKA SYARIKAT . Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump meminta pendatang Amerika Tengah yang mahu memasuki negaranya secara haram supaya pulang ke negara asal.
Trump memberi alasan, negaranya sudah tidak mampu menampung kebanjiran pendatang terbabit yang disifatkannya sebagai ancaman besar kepada keselamatan AS.
Pemimpin berusia 72 tahun itu sebelum ini pernah menuduh pendatang Mexico sebagai perogol dan pengedar dadah.
"AS sudah penuh. Jadi, berpalinglah dan pulang semula ke negara asal kamu," kata Trump semasa mengadakan pertemuan dengan pegawai peronda sempadan di Calexico, California, semalam.
Selepas pertemuan itu, Trump dibawa melawat ke satu bahagian pagar sempadan antara AS-Mexico yang diperkukuh bagi mengekang kemasukan pendatang ke AS.
Lawatan itu dibuat genap seminggu selepas Trump menuduh kerajaan Mexico gagal menangani masalah kemasukan pendatang ke AS dan mengancam menutup sempadan, melainkan jika terdapat perubahan.
Trump membuat ancaman itu di Twitter, sekali gus meningkatkan ketegangan antara negara jiran terbabit. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!