Lahir ramai pentadabbur al-Quran

Yayasan Ummi Malaysia ambil inisiatif tubuhkan Akademi Tadabbur Al-Quran Al-Ummah dalam lahirkan lebih ramai pelapis yang mampu kuasai al-Quran dengan baik.
Yayasan Ummi Malaysia ambil inisiatif tubuhkan Akademi Tadabbur Al-Quran Al-Ummah dalam lahirkan lebih ramai pelapis yang mampu kuasai al-Quran dengan baik.
A
A
A

KOTA BHARU - Yayasan Ummi Malaysia mengambil inisiatif menubuhkan Akademi Tadabbur Al-Quran Al-Ummah sebagai satu platform infak dalam melahirkan lebih ramai pelapis yang mampu menguasai kitab suci itu dengan baik di negeri ini.

Presidennya, Rita Sarbani Ismail berkata, usaha tersebut bagi memastikan lebih ramai yang akan mendapat manfaat dengan memahami isi kandungan ayat-ayat al-Quran.

"Ini merupakan rentetan daripada menjadi penonton setia siri Program My#Qurantime di siaran TV Alhijrah setiap hari sehingga menimbulkan kesedaran pada saya untuk menubuhkan akademi ini.

"Alhamdulillah, ia telah mendapat kerjasama pentadabbur terkenal TV Alhijrah melalui Rancangan My#Qurantime iaitu Fazrul Fahmee Ismail," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Menurutnya, sesi pertama bermula pada 3 September lalu dengan penyertaan seramai 90 peserta sepenuh masa dan separuh masa yang akan dilatih selama enam bulan.

Tambahnya, proses temuduga peserta-peserta tersebut telah dibuat dengan jayanya pada 26 Ogos lalu dan daripada senarai 90 orang peserta ini, seramai 20 peserta terbaik dipilih untuk mendapat penajaan penuh yayasan termasuk elaun.

Jelas Rita Sarbani, para peserta akan memainkan peranan dengan menjalankan tugas untuk menggerakkan dan meneruskan usaha dakwah mentadabbur kepada masyarakat umum supaya lebih ramai akan didedahkan untuk memahami al-Quran.

Ujarnya, akademik tersebut diharap bakal menjadi pencetus untuk melahirkan lebih ramai pentadabbur seperti Fazrul Fahmee.

Artikel Berkaitan:

"Pada 26 Ogos lalu satu forum muzikal majlis al-Quran telah diadakan di Hotel H Elite Design, Tunjong.

"Konsep forum muzikal itu merupakan yang pertama diadakan di negeri ini dengan menampilkan Fazrul Fahmee, Ahmad Tarmizi Abdul Rahman dan Fakhrul UNIC," katanya.

Menurutnya, forum tersebut sangat memberi kesan kepada para penonton yang hadir apabila ramai yang menitiskan air mata dengan penyampaian ayat-ayat al-Quran dan persembahan yang dibuat.

Katanya, program tersebut sangat sesuai dan boleh dijadikan aspirasi untuk memperluaskan lagi ilmu tadabbur kepada golongan muda.

Rita Sarbani turut memaklumkan bahawa yayasan akan membawakan secara eksklusif forum muzikal majlis al-Quran pada 17 September ini di Hotel The Grand Renai bermula jam 2 hingga 4.30 petang.

"Mereka yang berminat boleh menghubungi talian 017-501 0311," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!