The Reds perlu waspada berdepan Wolves
PENGENDALI Liverpool, Jurgen Klopp mengingatkan skuad kendaliannya itu untuk sentiasa berwaspada pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) berdepan Wolverhampton Wanderers pada Sabtu.
Menurut Klopp, skuad kendalian Bruno Lange itu sudah pasti telah merencana strategi tersendiri untuk berdepan Liverpool setelah menyaksikan The Reds tumpas 1-4 kepada Napoli dalam saingan Liga Juara-Juara, Rabu lalu.
Malah katanya, kekalahan mengejutkan Liverpool kepada Napoli itu mungkin akan menjadi pembakar semangat buat kesebelasan Wolves bagi mengharungi perlawanan berkenaan.
“Saya pasti mereka telah menyaksikan perlawanan itu (Liga Juara-Juara) dan melihat di manakah kelemahan-kelemahan kita terutamanya di benteng pertahanan.
“Pastinya mereka juga tidak henti-henti mentertawakan kita atas kekalahan itu dan perkara ini perlu dilihat dengan serius.
“Oleh itu, pemain perlu membeirkan aksi terbaik mereka bagi memastikan kejayaan pada perlawanan ini,” katanya.
Untuk rekod, kekalahan 1-4 Liverpool pada aksi sulung Liga Juara-Juara itu sememangnya mengejutkan ramai pihak, malah ia turut dilihat membuka peluang kepada pasukan-pasukna lain untuk melakukan perkara sama apabila berdepan The Reds.
Sementara itu, Klopp menegaskan pihaknya masih menaruh kepercayaan kepada kesebelasan sama untuk beraksi berdepan Wolves kali ini.
Katanya, keputusan untuk menurunkan kesebelasan sama adalah untuk memastikan momentum pemain bakal berterusan dalam usaha mencatatkan kejayaan kali ini.
“Ya, kita akan turunkan kesebelasan sama berdepan Wolves. Apa pun, secara keseluruhannya, kita memang menyasarkan kemenangan berdepan Wolves dan diharapkan kesebelasan pemain dapat merealisasikan sasaran berkenaan,” jelas beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!