Seorang dikhuatiri lemas, dua tidak sedarkan diri mandi pantai
KOTA TIGGI - Seorang remaja perempuan dikhuatiri lemas, dua lagi tidak sedarkan diri manakala tiga terselamat semasa mandi di Pantai Tanjung Balau, Bandar Penawar dekat sini pada Jumaat.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Penawar, Penguasa Bomba Kanan II Mohd Hazmi Zulkafli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.39 pagi.
Susulan itu katanya, seramai 10 anggota dengan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.
"Ketika kejadian mereka sedang mandi di pantai. Tiga remaja perempuan semuanya berusia 13 tahun diselamatkan orang awam sebelum pihak bomba sampai manakala dua mangsa dijumpai pihak bomba dalam keadaan tidak sedarkan diri.
"Dua mangsa itu merupakan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun dan seorang budak lelaki berusia 12 tahun. Seorang remaja perempuan berusia 13 tahun masih hilang," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Katanya, dua mangsa yang tidak sedarkan diri itu dibawa naik dan pihaknya memberikan rawatan awal dan bantuan pernafasan sebelum dihantar ke Klinik Kesihatan Penawar menaiki EMRS.
Sementara itu katanya, tiga mangsa yang selamat dibawa ke klinik berkenaan dengan menaiki ambulans.
Mohd Hazmi memberitahu, pihak bomba masih melakukan pencarian seorang mangsa yang masih belum dijumpai dengan menggunakan kaedah 'surface searching' pada jarak 80 meter dari pesisir pantai.
Beliau menambah, difahamkan semua mangsa berasal dari daerah ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!