ECERDC hampiri sasaran pelaburan RM14 bilion

Ismail Sabri (kiri) ketika merasmikan Laman Warisan Kampung Laut di Tumpat pada Jumaat.
Ismail Sabri (kiri) ketika merasmikan Laman Warisan Kampung Laut di Tumpat pada Jumaat.
A
A
A

TUMPAT - Majlis Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) berjaya menghampiri sasaran pelaburan RM14 bilion apabila berjaya menarik pelaburan sebanyak RM13 bilion sehingga 31 Ogos lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kejayaan itu bakal menjana 7,080 peluang pekerjaan sekali gus menjadi nadi dalam menggerakkan ekonomi setempat.

"Pada masa yang sama ia turut menyediakan 300 peluang perniagaan," katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Laman Warisan Kampung Laut pada Jumaat.

Hadir sama, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Beliau berkata, kerajaan menghargai usaha penuh ECERDC dalam menerajui inisiatif-inisiatif pemulihan ekonomi negara di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

Katanya, usaha itu melalui pelaksanaan pelbagai program pembangunan modal insan, projek-projek strategik dan penarikan pelaburan baharu.

Ismail Sabri berkata, dengan adanya Pakej Insentif Khas Kelantan dan pembukaan sempadan negara, ECERDC dijangka menarik lebih banyak pelaburan bernilai tinggi ke ECER.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata, kerajaan telah membelanjakan M40 juta untuk Projek Pembangunan Semula Kampung Laut yang terdiri daripada Laman Warisan Serunding, Laman Warisan Seni dan pemindahan Masjid Lama Kampung Laut.

Artikel Berkaitan:

“Laman Warisan Kampung Laut memberi peluang kepada karyawan- karyawan seni tempatan untuk memasarkan hasil tangan seperti batik, wau dan barangan kraftangan kepada para pengunjung selain terus mengekalkan budaya seni dan kraftangan Melayu dalam kalangan generasi muda,” jelas beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!