Felcra laksana Kompleks Ternakan Ayam Bersepadu RM20 juta

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid. - Foto Bernama
Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA NERANG - Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menerusi agensinya Felcra Bhd melaksanakan projek kedua Kompleks Ternakan Ayam Bersepadu bernilai RM20 juta di Padang Terap.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pembinaan projek ternakan ayam sistem tertutup di Kampung Kubang Palas itu dijadual bermula hujung tahun ini dan akan beroperasi Oktober tahun depan.

"Apabila siap nanti projek ini akan mampu menawarkan peluang pekerjaan untuk anak tempatan selain akan menjadi satu projek yang dapat membantu industri agromakanan kita.

"Felcra sebagai peneraju projek ini dibantu oleh pihak lain termasuk kerajaan negeri, insya-Allah dengan sokongan dan bantuan ini, Felcra dapat kebenaran merancang dan pembinaan boleh dimulakan hujung tahun ini," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan tapak projek itu di sini, pada Jumaat.

Katanya, kompleks ternakan ayam itu dibina atas tanah berkeluasan 10 hektar dan mampu mengeluarkan 250,000 ekor ayam untuk satu pusingan atau 1.5 juta ekor setahun dan mampu membantu menjamin keselamatan bekalan makanan dalam negara.

Katanya, projek tersebut merupakan yang kedua selepas projek sama dilaksanakan di Kampung Tanjung Seratus, Rompin, Pahang dan Felcra bercadang melaksana dua lagi projek itu di Kuala Lipis, Pahang dan Machang, Kelantan.

Mahdzir berkata, projek ternakan ayam itu turut mampu memberi ruang kepada usahawan bimbingan Felcra untuk terlibat secara aktif dalam rangkaian pengeluaran dan pembekalan ayam.

Hadir sama pada majlis itu Pengarah Felcra, Datuk Seri Ghazali Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif Felcra, Datuk Mat Roni Zakaria. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!