Pekebun kecil sawit digalak ceburi sektor koko, lada hitam, putih

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Zuraida Kamaruddin (tengah) menunjukkan koko yang terdapat di gerai pameran pada Majlis Program Jelajah Agrikomoditi Keluarga Malaysia di Dewan Semai Bakti Felda Inas Utara, pada Jumaat. - Foto Bernama
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Zuraida Kamaruddin (tengah) menunjukkan koko yang terdapat di gerai pameran pada Majlis Program Jelajah Agrikomoditi Keluarga Malaysia di Dewan Semai Bakti Felda Inas Utara, pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

KULAI - Pekebun kecil sawit digalakkan untuk merebut peluang menceburi sektor koko, lada hitam dan putih sebagai produk sampingan bagi membantu meningkatkan aktiviti huluan agrikomoditi itu.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, projek integrasi seumpama itu dapat membantu merancakkan lagi pembangunan hiliran sektor lada dan koko tempatan yang semakin mendapat tempat, sekali gus memberi sumbangan signifikan kepada pembangunan ekonomi negara.

"Ini juga usaha baik untuk meningkatkan eksport bahan mentah, bahan mentah kekurangan kerana aktiviti menanam di peringkat huluan lemah.

"Kita mahu mempertingkatkan dari segi penglibatan penanam peringkat huluan, (dengan itu) baru kita dapat hasil di peringkat hiliran dan dapat eksport...hasil akan datang kepada negara dan itu yang kita harapkan,” katanya pada sidang media selepas Jelajah Agrikomoditi Keluarga Malaysia Bersama Pekebun Kecil Koko dan Lada di Felda Inas, di sini, pada Jumaat.

Beliau berkata, koko, lada hitam dan putih juga semakin mendapat permintaan, malahan jenama coklat terkenal antarabangsa seperti Govida juga turut mendapat sumber koko daripada Malaysia.

Sementara itu, Zuraida berkata, kerajaan pada 2019 telah mengehadkan pengembangan kawasan penanaman kelapa sawit tidak melebihi 6.5 juta hektar dan sehingga 2022, seluas 5.8 juta hektar telah dibangunkan.

"Program integrasi ada potensi, kalau tengok ladang sawit kita sudah 5.8 juta hektar (dibangunkan), jadi kalau kita gunakan 1 juta hektar sekalipun sudah lumayan untuk dapat hasil koko atau lada hitam dan putih,” katanya.

Justeru beliau berkata, pihaknya bercadang untuk mengadakan mesyuarat dengan syarikat besar seperti Felda, Sime Darby dan IOI Corporation Bhd mengenai projek integrasi seumpama itu yang boleh dilaksanakan di ladang mereka.

Artikel Berkaitan:

Zuraida pada masa sama, menyeru orang ramai yang mempunyai tanah terbiar untuk turut sama memanfaatkan kawasan dengan menceburi sektor koko, ladang hitam dan putih menerusi projek ladang komuniti. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!