Lokasi paip pecah punca gangguan air dikenal pasti
KUANTAN - Kerja-kerja penyelenggaraan paip bekalan air mentah utama pecah di kawasan Mahkota Golf and Country Club (MGCC) di sini yang menjadi punca gangguan bekalan air di beberapa kawasan di daerah ini dijangka mengambil masa untuk disiapkan sepenuhnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip), Saiful Zaini Mohd Bokhari berkata, pihaknya berdepan cabaran untuk menyiapkan kerja-kerja pembaikan itu ekoran beberapa cabaran termasuk faktor di luar jangkaan.
Menurutnya, setakat ini pihaknya sudah mengenal pasti lokasi sebenar kebocoran dan jenis paip terlibat dengan kerja-kerja awal telah dimulakan dalam tempoh 48 jam.
"Kita dapati paip terlibat berukuran 1,500 milimeter (mm) yang dipasang sejak tahun 1980-an dengan kedalaman antara 10 hingga 15 meter.
"Kerja-kerja mengorek berdepan masalah ekoran berlaku runtuhan tebing sehingga terpaksa dipasang cerucuk kepingan besi yang memakan masa lebih 16 jam di kawasan berlaku kebocoran.
"Ketika ini kerja-kerja pembaikan belum disiapkan bagaimanapun bekalan air yang ditutup sementara sejak dua hari lalu kini disalurkan semula kepada pengguna secara berperingkat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sesi taklimat dan lawatan ke tapak kerja-kerja penyelenggaraan paip air mentah di MGCC itu di sini pada Jumaat.
Saiful Zaini berkata, pihaknya berjaya mengecilkan jumlah akaun pengguna yang terjejas daripada 85,000 akaun kepada 35,000 akaun dan daripada 84 kawasan terjejas kepada 14 kawasan sahaja.
"Operasi Rumah Pam Kobat beroperasi sepenuhnya dan bekalan air mentah ke loji rawatan air disalurkan melalui satu lagi saluran paip utama berukuran 1,600mm sedia ada," katanya.
Sementara itu beliau berkata, penutupan bekalan air bagi memberi laluan untuk kerja-kerja pembaikan paip tersebut dijangka dilakukan pada satu tarikh yang akan ditetapkan selepas perbincangan dilakukan dengan semua pihak berkepentingan.
"Kerja-kerja ini tidak boleh ditangguhkan dan perlu dilakukan segera mengambil kira impak dan lokasinya yang berada dalam kawasan padang golf.
"Bagaimanapun, kami jangkakan kerja-kerja tersebut dapat disiapkan dengan lebih cepat kerana punca dan kedudukan paip terlibat telah dikenal pasti.
"Persiapan akan dilakukan termasuk mendapatkan peralatan diperlukan selain meningkatkan bilangan jentera dan tenaga kerja sekiranya perlu untuk mempercepatkan kerja-kerja tersebut," katanya.
Tambah Saiful Zaini, pada masa sama, bagi menyalurkan bekalan kepada pengguna terjejas, pihak Paip akan mendapatkan bantuan syarikat operator air dari negeri lain untuk menyediakan kira-kira 100 lori tangki bagi tujuan itu.
"Pihak Paip juga akan menyediakan tangki-tangki statik di kawasan-kawasan yang dijangka terjejas," katanya.
Bagi mengatasi masalah itu untuk jangka panjang, katanya, pihak Paip juga akan memindahkan jajaran paip bekalan air mentah di kawasan itu ke laluan baharu sepanjang kira-kira 1.2 kilometer dalam masa terdekat.
"Perbincangan akan dilakukan dengan pihak-pihak berkaitan sebelum projek yang menelan kos dianggarkan antara RM5 hingga RM6 juta ini dimulakan.
"Bagaimanapun, projek ini akan mengambil masa antara lima hingga enam bulan untuk disiapkan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!