MBSJ rangkul anugerah 'Garden Creative Award Sustainable'
SHAH ALAM - Penyertaan julung-julung kali Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) di Festival Floria Diraja Putrajaya 2022 membuahkan hasil apabila berjaya merangkul anugerah 'Garden Creative Award Sustainable' di bawah kategori Taman Agensi Kerajaan dan Korporat.
Festival bermula 29 Ogos sehingga 11 September itu menghimpunkan lebih 10,000 orkid dengan lebih daripada 400,000 pokok pelbagai spesies di Anjung Floria di Presint 4 yang ditransformasi menjadi hamparan bunga terbesar sepanjang 14 hari penganjurannya.
Timbalan Pengarah Jabatan Korporat Dan Pengurusan Strategik MBSJ, Azfarizal Abdul Rashid berkata, sebanyak 36 anugerah menjadi rebutan enam agensi bertanding dalam pelbagai kategori taman dan reruai manakala 17 anugerah lagi meliputi bunga-bungaan serta gubahan di dalam Floral Pavilion.
Beliau berkata, konsep pertandingan yang diterapkan dalam kategori reka bentuk taman adalah dengan menggabungkan pelbagai jenis pokok bunga berwarna-warni bersama arca kitar semula yang interaktif.
"MBSJ mengetengahkan konsep upcycling bagi penyediaan arca kitar semula dengan mengubah produk yang tidak berfungsi untuk menjadi sesuatu yang lebih berguna seperti mengubah kayu pelet terbuang kepada hiasan burung hantu di dalam taman.
"Reka bentuk ini merupakan inisiatif MBSJ bagi menyokong transformasi Subang Jaya untuk menjadi sebuah bandar raya hijau sejajar dengan Pelan Strategik Subang Jaya 2020-2025 dengan sasaran pengurangan karbon dalam melestarikan amalan hijau," kata Azfarizal dalam kenyataan pada Jumaat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!