Mayat remaja lemas ditemui tersangkut celah batu
KOTA TINGGI - Mayat remaja perempuan yang dikhuatiri lemas semasa mandi bersama-sama rakan di Pantai Tanjung Balau, Bandar Penawar dekat sini pada pagi Jumaat, ditemukan pada jam 2.37 petang tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, mangsa yang berusia 13 tahun ditemui pasukan penyelamat pada jarak kira-kira 50 meter dari lokasi dia dilaporkan lemas.
"Mayat dijumpai tersangkut di celah batuan. Mangsa sudah dicam oleh ahli keluarganya dan kini dihantar ke Hospital Kota Tinggi (HKT) bagi proses bedah siasat.
"Susulan itu operasi mencari dan menyelamat dihentikan," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian pada Jumaat.
Dalam kejadian itu, Nurish Qhalisya Suhailizam, 13, lemas manakala dua beradik, Mohd Asyraf Syazwan Mohd Fairuz, 7, dan Nur Azrin Syazwani, 13, dilaporkan kritikal dan kini di bawah pemantauan Unit Rawatan Rapi (ICU) HKT.
Tiga lagi mangsa, Siti Alesya Qistina Mustafa, Siti Nur Alysya Abdullah dan Nur Zurin Hafeeza Mohd Azhari yang semuanya berusia 13 tahun dilaporkan selamat.
Hussin berkata, siasatan awal mendapati mangsa dan lima yang lain datang ke pantai berkenaan untuk beriadah dan bermandi-manda.
Menurutnya, mereka yang terbabit dalam tragedi tersebut mendapat izin daripada ahli keluarga dan ketika kejadian cuaca mendung serta air tenang, namun dipercayai sedang mulai surut.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai yang hadir ke kawasan rekreasi khususnya kawasan pantai supaya berhati-hati dan menjaga keselamatan ahli keluarga agar musibah seperti itu tidak berulang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!