Peluang menang perpustakaan buku Karangkraf RM1,000

Mural baharu yang memberikan nafas baharu terhadap bangunan Karangkraf yang terletak di Seksyen 15, Shah Alam. (Gambar kecil: Firdaus)
Mural baharu yang memberikan nafas baharu terhadap bangunan Karangkraf yang terletak di Seksyen 15, Shah Alam. (Gambar kecil: Firdaus)
A
A
A

SHAH ALAM - Kumpulan Karangkraf (Karangkraf) menganjurkan peraduan Pose & Menang bersempena dengan pengenalan wajah baharu bangunan syarikat tersebut yang terletak di Seksyen 15, dekat sini.

Ketua Pegawai Eksekutif Grup Buku Karangkraf, Firdaus Hussamuddin berkata, hanya dengan bergambar atau membuat video bersama mural baharu di bangunan Karangkraf, orang ramai berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik antaranya berupa buku dan wang tunai.

“Peraduan ini terbuka kepada orang ramai tidak kisah siapa sahaja boleh datang untuk bergambar kita bangunan kita,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Firdaus berkata, peraduan yang berlangsung sejak 26 Ogos hingga 16 September depan itu menawarkan hadiah utama berupa Perpustakaan Buku Karangkraf bernilai RM1,000, t-shirt Sinar Harian dan bekalan pelitup muka Karangkraf selama setahun.

Pemenang tempat kedua pula bakal membawa pulang hamper buku bernilai RM500, t-shirt Sinar Harian dan bekalan pelitup muka Karangkraf bernilai RM70 manakala tempat ketiga pula mendapat hamper buku Karangkraf bernilai RM300, t-shirt Sinar Harian serta bekalan pelitup muka Karangkraf bernilai RM40.

Katanya, pemenang harian pula akan memperoleh wang tunai berjumlah RM100.

Menurut Firdaus, untuk menyertai peraduan tersebut, peserta hanya perlu mengambil gambar atau video tidak melebihi 15 saat bersama bangunan Karangkraf yang berwajah baharu dan memuat naik ke sosial media masing-masing.

“Perkongsian dilakukan itu juga perlu tag kepada sosial media rasmi Sinar Harian dan Karangkraf dengan turut menyertakan hashtag #KarangkrafBaharu #ColorsOfKarangkraf.

Artikel Berkaitan:

“Senarai pemenang bakal diumumkan di sosial media Sinar Harian dan Buku Karangkraf manakala gambar pemenang juga akan disiarkan di akhbar Sinar Harian,” ujar beliau.

Peraduan itu boleh disertai di salah satu platform sosial media iaitu Facebook, Twitter, Instagram dan TikTok.

Sementara itu, Firdaus berkata, langkah Karangkraf untuk tampil dengan wajah baharu melalui lukisan mural itu adalah selari dengan identiti syarikat itu yang merupakan sebuah organisasi kreatif.

“Kita mahu jadikannya sebagai bangunan mercu tanda di Shah Alam selain mendorong orang ramai lebih berminat dan kenal dengan Karangkraf itu sendiri,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!