UK mula berkabung 10 hari kemangkatan Ratu Elizabeth II
LONDON - United Kingdom (UK) memulakan tempoh berkabung selama 10 hari bermula Jumaat selepas Istana Buckingham mengumumkan kemangkatan Ratu Elizabeth II pada Khamis.
Banyak aktiviti, termasuk sidang Parlimen telah ditangguhkan, lapor Agensi Anadolu.
Persidangan Parlimen akan ditangguh sehingga 21 September namun satu sidang khas akan diadakan pada tengah hari Jumaat, untuk ahli Parlimen memberi penghormatan kepada mendiang Ratu sehingga 10 malam waktu tempatan.
Dewan Rakyat pula akan bersidang pada Sabtu untuk beberapa ahli Parlimen kanan mengangkat sumpah taat setia kepada Raja Charles III.
Perlawanan Liga Perdana Inggeris pada hujung minggu ini dibatalkan manakala aksi liga Scotland, Ireland dan Wales ditangguhkan.
Persembahan teater di seluruh negara kemungkinan diteruskan dan pengunjung akan bertafakur selama seminit.
Persatuan Teater London dan Teater UK dalam satu kenyataan berkata persembahan teater yang telah dijadualkan akan diteruskan semasa tempoh perkabungan.
Semua program TV di saluran utama juga disusun semula dan semua mogok yang dirancang oleh beberapa pihak turut dibatalkan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!