Malaysiaku yang tercinta
Tahun ini, kita menyambut Hari Kebangsaan yang ke-65 dan Hari Malaysia ke-59. Saya ingin mengambil kesempatan untuk berkongsi beberapa buah fikiran tentang negara kita yang dicintai.
Kita hidup dalam zaman yang penuh ketidakpastian. Walaupun Malaysia dan seluruh dunia sudah beralih ke fasa endemik, Covid-19 masih menjadi satu ancaman. Ketegangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China semakin membimbangkan, manakala peperangan di Ukraine telah mengganggu rantaian bekalan global.
Inflasi yang melambung tinggi dan jurang perbezaan pendapatan menjadikan kita terus mundur menentang arus kemajuan. Oleh itu, amat penting bagi kita selaku rakyat Malaysia bertindak segera dan seiringan demi mengatasi cabaran global ini.
Kita perlu meneliti di mana kita berada pada masa ini, ke mana hala tuju kita, dan bagaimana kita berhasrat untuk sampai ke destinasi tersebut.
Izinkan saya mengetengahkan beberapa perkembangan positif yang berlaku sepanjang 12 bulan yang lalu. Sebagai contoh, Memorandum Persefahaman (MoU) bersejarah yang ditandatangani oleh Perdana Menteri dan gabungan pembangkang Pakatan Harapan mula membuahkan hasil dari segi reformasi sistem politik kita.
Undang-undang anti lompat parti telah pun diwartakan. Rang undang-undang pembiayaan politik pula bakal dibentangkan tidak lama lagi. Peranan pihak Parlimen berkembang secara lebih tulus dan bebas selaras dengan pelaksanaan mekanisme semak dan imbang.
Namun, apa yang lebih penting adalah pemikiran unik (out of the box) yang mencetus pelaksanaan MoU itu. Ia berjaya memperkenalkan konsep ‘bersaing sambil bekerjasama’ ke dalam sistem politik kita. Ia mewujudkan suasana kestabilan yang banyak membantu pentadbiran negara.
Kita memerlukan lebih banyak idea sedemikian untuk terus maju ke hadapan. Kerajaan juga berjaya mengurangkan kesan paling teruk akibat peningkatan kos sara hidup rakyat Malaysia, terutama rakyat dalam kategori B40.
Namun, pelaksanaan tindakan ini ternyata tidak mampan kerana memakan kos yang sangat tinggi - hampir RM80 bilion dalam bentuk subsidi. Walaupun langkah sementara (stopgap) ini memberi kelegaan sementara, apa yang kita benar-benar perlukan ialah dasar-dasar jangka panjang yang wajar, koheren dan bersepadu untuk meningkatkan tahap produktiviti dan pendapatan rakyat.
Seperti yang dikatakan oleh pemenang Hadiah Nobel Keamanan iaitu mendiang Desmond Tutu, “Akan tiba masanya di mana kita perlu berhenti daripada hanya menarik orang keluar dari sungai secara membuta. Kita harus pergi ke hulu untuk mengetahui kenapa mereka jatuh ke dalam sungai”.
Namun, saya khuatir sesetengah pihak berkuasa kelihatan lebih mementingkan politik berbanding polisi. Kita semua sedar akan rintangan yang dihadapi dalam usaha membina masa depan yang lebih cerah, progresif, inklusif dan mampan untuk negara kita.
Ia penting untuk kita mengakui desakan dalam mengukuhkan perpaduan nasional kita. Kepelbagaian kita adalah suatu unsur kekuatan yang memperkasa kita sebagai sebuah negara, bukannya yang memecahbelahkan.
Kita semua mesti cuba sedaya upaya untuk mengatasi budaya toksik yang mempengaruhi perhubungan sesama kita dari sudut kaum, agama dan budaya.
Seterusnya, izinkan saya untuk menyentuh tentang pendidikan. Bukan lagi rahsia bahawa sistem pendidikan kita memerlukan penambahbaikan secara besar-besaran. Melainkan kita menangani cabaran ini dengan segera, kita akan mengazabkan anak-anak kita dan negara kita ke arah masa depan yang penuh kemiskinan dan kesengsaraan.
Dalam dunia globalisasi, persaingan yang dihadapi oleh anak-anak kita bukan sahaja berpunca daripada pelajar di meja sebelah, tetapi dari seluruh pelosok dunia. Dalam konteks ini, saya amat bimbang apabila mendapati bahawa tahap penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan anak muda Malaysia semakin merosot.
Sudah tentulah Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan kita dan kita harus menguasainya. Namun, Malaysia ialah sebuah negara perdagangan. Bahasa Inggeris merupakan bahasa perantaraan utama, justeru kelemahan dari segi ketidakfasihan berbahasa Inggeris mungkin menjadi halangan utama dalam usaha kita memastikan Malaysia terus makmur.
Malaysiaku yang tercinta,
Tahap kebimbangan masyarakat Malaysia terhadap gejala rasuah makin meruncing, malah dikatakan telah pun menjadi endemik di negara ini.
Tidak perlulah saya ulas secara terperinci. Anda semua sedia maklum akan berita dan skandal yang meliputi isu rasuah. Jika kita terus membutakan mata dan menulikan telinga tanpa mengambil serius usaha membasmi rasuah hingga ke akar umbi, negara kita pasti akan musnah.
Sebagaimana kanser menyerang badan dari dalam, rasuah adalah penyakit yang boleh memusnahkan negara dan masyarakat dari dalam. Keputusan membiarkan rasuah bermaharajalela bagaikan perbuatan menyuntik racun ke dalam badan sendiri.
Kegiatan rasuah adalah jalan dua hala yang melibatkan pihak pemberi dan juga penerima. Usaha memerangi rasuah memerlukan bukan sahaja undang-undang kukuh yang dilaksanakan tanpa rasa takut atau pilih kasih, bahkan perubahan dari segi pemikiran dan budaya dalam kalangan kita semua.
Keputusan baru-baru ini oleh mahkamah tentang kes rasuah telah memberikan segunung harapan kepada rakyat Malaysia. Pemerkasaan integriti institusi badan kehakiman merupakan satu perkembangan yang memberangsangkan dalam usaha bersama memerangi rasuah.
Kita juga harus sentiasa beringat bahawa sambil kita menangani isu-isu politik dan sosioekonomi, kita juga mesti melakukan sesuatu untuk menangani isu perubahan iklim yang mengancam kelangsungan hidup manusia.
Pelaksanaan agenda pembangunan mampan bukan lagi satu pilihan tetapi satu keperluan yang mendesak. Arah pandu sudah pun tersedia. 17 Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang dikemukakan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 2015 membentangkan pelan perlaksanaan yang holistik dan komprehensif.
Namun, usaha merealisasikan 17 SDG bukanlah tanggungjawab kerajaan semata-mata. Ia memerlukan komitmen daripada setiap lapisan masyarakat - sektor swasta, ahli akademik, masyarakat sivil dan individu.
We are all in this together.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!