Saman Najib terhadap Tommy Thomas serangan sampingan: Peguam

Najib (kiri) dan Tommy Thomas (kanan).
Najib (kiri) dan Tommy Thomas (kanan).
A
A
A

KUALA LUMPUR - Peguam Alan Adrian Gomez memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat bahawa tindakan Datuk Seri Najib Tun Razak menyaman Tan Sri Tommy Thomas berhubung dakwaan salah laku ketika bertugas kerana mengemukakan pertuduhan terhadap Ahli Parlimen Pekan itu disifatkan sebagai serangan sampingan terhadap kes yang dihadapinya.

Alan yang mewakili bekas Peguam Negara itu berkata demikian ketika pendengaran untuk membatalkan saman berkenaan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Bache.

Menurutnya, menerusi pernyataan tuntutan, Najib tidak memohon sebarang relif maka ia menunjukkan bekas Perdana Menteri itu tidak mencabar budi bicara pendakwa raya dalam empat kes mahkamah yang dihadapinya.

Sebaliknya, beliau berkata, Najib bersandarkan kepada dakwaan bahawa empat kes itu adalah berniat jahat terhadapnya.

Bagaimanapun Alan berkata, ia bukan salah laku yang boleh dikenakan tindakan sivil dan diiktiraf di negara ini.

“Tuntutan saman ini adalah untuk mencabar pertuduhan yang dikenakan terhadapnya, ini jelas menunjukkan salah guna proses mahkamah.

“Ia juga melampau, remeh dan menyusahkan, jadi kami menyatakan mahkamah wajar menolak saman ini," katanya.

Sementara itu, peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin yang mewakili Najib selaku plaintif berkata, anak guamnya tidak mencabar empat kes terbabit sebaliknya menyentuh kelakuan Thomas sebagai Peguam Negara ketika itu.

Artikel Berkaitan:

"Tan Sri Tommy Thomas sudah menyasarkan Datuk Seri Najib sejak tahun 2012 dan ia sudah lama dirancang, maka ia bukan suatu yang wajar dibuat kerana seorang Peguam Negara tidak boleh berat sebelah.

“Kenyataan Thomas dalam bukunya My Story: Justice In Wilderness berhubung pendakwaan terhadap plaintif adalah kenyataan luar biasa oleh seorang Peguam Negara.

"Beliau tidak boleh ada kepercayaan bahawa seseorang itu sudah bersalah, sekali gus ini menunjukkan salah laku,” katanya.

Dalam prosiding berkenaan, Najib yang hadir di mahkamah dengan memakai sut kelabu berkemeja putih, duduk dalam keadaan tenang di galeri awam serta diawasi pegawai dari Penjara Kajang.

Turut kelihatan ialah isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

Sebelum ini, bekas Perdana Menteri itu memfailkan saman di Mahkamah Tinggi di sini pada 22 Oktober 2021 dengan menamakan Thomas dan kerajaan Malaysia selaku defendan pertama dan kedua.

Dalam pernyataan tuntutan, Najib, 69, mendakwa beliau telah dituduh di mahkamah membabitkan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), International Petroleum Investment Company (IPIC), salah guna kuasa di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (SPRM) dan pengubahan wang haram di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

Ahli Parlimen Pekan itu mendakwa pertuduhan-pertuduhan yang dikenakan terhadapnya sebahagian daripada perbuatan yang telah dirancang lebih awal oleh Thomas dan ia juga selaras dengan rancangan kerajaan Pakatan Harapan ketika itu.

Pendengaran di hadapan Hakim Datuk Ahmad Bache bersambung 21 Oktober depan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!