Premis alat ganti kenderaan terbakar
SHAH ALAM - Keadaan di sekitar Glenmarie gempar apabila kepulan asap hitam dapat dilihat dari jauh susulan kebakaran sebuah premis menjual alat ganti kenderaan di Jalan Pendidik U1/31, di sini pada Jumaat.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, sebanyak tiga jentera dan dua lori tangki air dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 5.50 petang.
"Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Anggerik, BBP Subang, dan BBP Shah Alam tiba di lokasi kejadian pada jam 6.03 petang mendapati kebakaran bahagian pejabat di tingkat satu dan asap masih tebal.
"Kebakaran melibatkan sebuah bangunan pejabat di kedai dua tingkat kelas A berkeluasan 2.78x2.78 meter persegi," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Norazam berkata, kebakaran tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan dan api berjaya dikawal tidak lama selepas pasukan penyelamat tiba di lokasi.
"Punca kebakaran masih dalam siasatan," ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!