Aksi EPL, EFL ditangguh

Penangguhan perlawanan berkenaan turut melibatkan perlawanan yang dijadualkan berlangsung pada petang Isnin. - Foto 123rf
Penangguhan perlawanan berkenaan turut melibatkan perlawanan yang dijadualkan berlangsung pada petang Isnin. - Foto 123rf
A
A
A

KESEMUA aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Liga Bola Sepak Inggeris (EFL) yang dijadualkan berlangsung hujung minggu ini ditangguhkan sebagai tanda penghormatan terhadap kemangkatan Ratu Elizabeth II, pada Khamis.

Penangguhan berkenaan diumumkan oleh pihak EPL dan EFL selaku badan pengendali kedua-dua saingan liga bola sepak berkenaan setelah bermesyuarat pada Jumaat.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) EPL, Richard Masters, penangguhan perlawanan berkenaan turut melibatkan perlawanan yang dijadualkan berlangsung pada petang Isnin.

"Pemergian Ratu Elizabeth bukan sahaja ditangisi rakyat di negara ini semata-mata, tetapi ia turut diratapi oleh jutaan manusia di seluruh dunia.

“Oleh itu, sebagai tanda penghormatan kepada Ratu Elizabeth II, pihak EPL dan EFL membuat keputusan bagi menangguhkan kesemua perlawanan hujung minggu ini.

"Penangguhan ini juga turut melibatkan aksi EPL dan EFL yang bakal berlangsung pada petang Isnin," katanya menerusi satu kenyataan pada Jumaat.

Dalam perkembangan sama, pihak EFL menerusi satu kenyataan turut mengumumkan mengenai penangguhan perlawanan bagi saingan liga berkenaan yang dijadualkan berlangsung dari 9 hingga 10 September.

"Kita di EFL turut memutuskan agar kesemua aksi EFL yang dijadualkan berlangsung hujung minggu ini ditangguhkan.

Artikel Berkaitan:

"Penangguhan ini dibuat agar ia bertepatan dan selari dengan tindakan daripada pihak EPL," menurut kenyataan berkenaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!