Pembawa harap kerajaan beri bantuan, lanjutkan moratorium

Persatuan Bas Ekspres Melayu Semenanjung Malaysia (Pembawa) meminta agar kerajaan membantu pengusaha bas tempatan. (Gambar kecil: Laili)
Persatuan Bas Ekspres Melayu Semenanjung Malaysia (Pembawa) meminta agar kerajaan membantu pengusaha bas tempatan. (Gambar kecil: Laili)
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Bas Ekspres Melayu Semenanjung Malaysia (Pembawa) meminta agar kerajaan membantu pengusaha bas tempatan yang kini terpaksa menanggung kos penyelenggaraan bas dengan melanjutkan tempoh bayaran pinjaman atau moratorium menerusi Bajet 2023.

Yang Dipertuanya, Laili Ismail berkata, tempoh moratorium pinjaman daripada bank dan syarikat kredit sudah tamat pada Jun lepas dan kini pengusaha bas perlu membayar kesemua pinjaman.

“Sejak awal Januari sehingga Ogos lepas, pendapatan kami baru capai 60 peratus berbanding tahun sebelum pandemik Covid-19 melanda.

“Keadaan kami sangat terkesan bukan sahaja perlu membayar pinjaman bas malah membayar kos penyelenggaraan dan gaji pekerja.

“Kos penyelenggaraan bas termasuk baik pulih berjumlah RM15,000 untuk sebuah bas. Bayangkan kami (pengusaha) yang mempunyai lebih daripada 50 buah bas perlu menanggung kos sebanyak itu dengan pendapatan terjejas dan keadaan ekonomi tidak menentu ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Justeru, beliau memohon kerajaan menerusi Bajet 2023 ini agar melihat kesulitan dihadapi pengusaha bas dengan melanjutkan tempoh moratorium selain memberi bantuan-bantuan berkaitan termasuk pemberian secara one-off.

Laili menambah, pemberian one-off dapat menampung kos penyelenggaraan bas selain mengurangkan beban pengusaha yang kini berdepan dengan masalah kewangan.

“Semalam (Khamis) Bank Negara umum kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR), hal ini sudah tentu membebankan pengusaha bas dengan kenaikan kadar faedah pinjaman.

Artikel Berkaitan:

“Jadi kerajaan perlu membantu meringankan beban pengusaha bas dengan melanjutkan moratorium, pemberian subsidi, dana dan sebagainya.

“Jika kerajaan tidak memberi bantuan kepada kami dalam pembentangan Bajet 2023 nanti sudah tentu ramai pengusaha bas ekspres berdepan risiko gulung tikar dan lebih parah lagi ada yang menjadi muflis,” jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!