Lelaki pulang dari masjid dibaham buaya

Seorang lelaki dipercayai dibaham buaya ketika menyeberang sungai berhampiran Taman Kenari Batu 7, di sini, pada Jumaat. - Gambar hiasan
Seorang lelaki dipercayai dibaham buaya ketika menyeberang sungai berhampiran Taman Kenari Batu 7, di sini, pada Jumaat. - Gambar hiasan
A
A
A

SANDAKAN - [DIKEMAS KINI] Seorang lelaki dipercayai dibaham buaya ketika menyeberang sungai berhampiran Taman Kenari Batu 7, di sini, pada Jumaat.

Mangsa berusia 50-an yang belum diketahui identitinya dikatakan menyeberang sungai dengan menggunakan rakit sebelum disambar reptilia itu.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerusi satu kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 8.57 malam Jumaat.

Katanya, seramai tujuh anggota bomba dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 10 kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan.

"Menurut maklumat, terdapat seorang lelaki dilaporkan dibaham buaya dan saksi memaklumkan mangsa yang baru balik dari Masjid Kenari Batu 7 cuba menyeberang sungai berkenaan untuk pulang ke rumahnya dengan menggunakan rakit buatan sendiri.

"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan di sepanjang sungai di kawasan mangsa dilaporkan dibaham buaya namun tidak berhasil," kata kenyataan itu.

Katanya lagi, operasi disambung semula pada jam 6.39 pagi Sabtu dengan kaedah pencarian di permukaan sungai berkenaan.

"Operasi SAR dilakukan dengan menggunakan bot penyelamat dan maklumat akan dikemas kini dari masa ke masa," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!