Wanita warga Indonesia rentung dalam kebakaran

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SIBU - Seorang pekerja wanita warga Indonesia rentung apabila bilik didiaminya di sebuah blok rumah pekerja di kilang papan lapis di Jalan Kemena, Bintulu, kira-kira 200 kilometer dari sini, terbakar awal pagi Sabtu.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak berkata, ketika kejadian, hanya wanita berusia 24 tahun itu berada di bilik berkenaan manakala dua rakan sebiliknya sedang bekerja.

Beliau berkata, seramai 11 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu digerakkan ke lokasi kejadian sejurus bomba menerima panggilan kebakaran pada 2.59 pagi.

"Kebakaran hanya melibatkan sebuah bilik nombor lima (daripada tujuh pintu) dan terbakar 100 peratus.

"Kebakaran berjaya dikawal pada 3.20 pagi dan operasi pemadaman tamat sepenuhnya pada 5.30 pagi,” katanya dalam kenyataan.

Menurut jurucakap itu, mayat wanita tersebut diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut manakala punca kebakaran dan jumlah kerugian sedang disiasat. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!