Di sebalik kemangkatan Ratu Elizabeth II
KEMANGKATANRatu Elizabeth II pada tengah hari Khamis waktu tempatan sekali gus menamatkan tujuh dekad takhta baginda dalam sistem monarki Britain yang merupakan antara institusi berpengaruh dalam kerajaan tersebut.
Baginda yang mangkat pada usia 96 di Istana Balmoral, Scotland dicatatkan antara pemerintah paling lama dalam sejarah dunia moden.
Sejurus kemangkatan baginda, Operasi London Bridge dilancarkan iaitu kod atau kata laluan untuk perancangan upacara pengebumian yang akan dilakukan dalam beberapa minggu atau bulan selepas kemangkatan Ratu Elizabeth II.
Bagi Perbadanan Penyiaran British atau BBC yang merupakan rangkaian penyebaran maklumat di seluruh Britain mahupun antarabangsa, mereka perlu menghentikan siaran yang tidak berkaitan serta perlu memaklumkan perihal di sebalik kemangkatan ratu.
Tiada rancangan hiburan seperti komedi akan ditayangkan dan pembaca berita perlu memakai pakaian serba hitam sebagai isyarat perkabungan.
Kemangkatan baginda sudah pasti menjadi perhatian antarabangsa memandangkan empayar baginda merupakan bekas kolonial kepada kebanyakan negara di dunia ini seperti, India, Pakistan, Hong Kong, Malaysia, Brunei, Singapura serta beberapa bekas jajahan lain yang disebut sebagai Komanwel.
Penabalan putera sulung baginda, Putera Charles kepada Raja Charles III sebagai pemerintah monarki Britain yang kini berusaha 73 tahun akan dijalankan.
Apa yang menarik di sebalik peristiwa ini, persepsi dunia kini dijangka bakal mengalami perubahan memandangkan berlakunya peralihan kuasa monarki Britain setelah Raja Charles III menjadi penerus kepada institusi berkenaan.
Umum mengetahui, institusi beraja Britain sebelum ini jarang diperdebatkan memandangkan sosok tubuh baginda Ratu Elizabeth II memegang tampuk kekuasaan dalam tempoh yang agak lama.
Kekuasaan baharu di bawah Raja Charles III akan mempengaruhi urusan pentadbiran negaranya serta mengundang persoalan tentang apakah visi dan misi yang akan mempengaruhi negara tersebut serta antarabangsa.
Institusi beraja hakikatnya tidak mempunyai kuasa mutlak dalam pentadbiran Britain memandangkan kerajaan tersebut mengamalkan dasar raja berperlembagaan yang memberikan keputusan-keputusan hal ehwal negara tersebut ditentukan melalui nasihat dan persetujuan daripada Parlimen.
Bagaimanapun, baginda memainkan peranan dalam beberapa perkara seperti pelantikan Perdana Menteri yang mendapat sokongan majoriti daripada Dewan Rakyat serta menyelesaikan ketegangan di Parlimen seandainya tergantung ketika tiada parti atau gabungan mendapat majoriti di peringkat tersebut.
Baginda juga mempunyai kuasa untuk membubarkan Parlimen apabila perlu seperti ketika menjelang pilihan raya.
Oleh itu, ketokohan dan kecekapan Raja Charles III bakal diperhatikan serta dilihat memandangkan baginda merupakan salah satu wajah baharu bagi politik Britain kini tambahan semenjak era ibundanya yang menyaksikan seramai 15 kali pertukaran Perdana Menteri sekali gus mencerminkan ketidakstabilan politik negara tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!