Tembakan Christchurch: Rahimi jalani rawatan fisioterapi

Gambar terbaharu Rahimi yang dikirimkan melalui aplikasi Whatsapp kepada keluarganya pagi tadi. (Gambar kanan: Rokiah menunjukkan gambarnya bersama keluarga Rahimi yang diambil pada Hari Raya Aidilfitri tahun lalu.)
Gambar terbaharu Rahimi yang dikirimkan melalui aplikasi Whatsapp kepada keluarganya pagi tadi. (Gambar kanan: Rokiah menunjukkan gambarnya bersama keluarga Rahimi yang diambil pada Hari Raya Aidilfitri tahun lalu.)
A
A
A

BAYAN LEPAS - Mangsa tembakan rambang di New Zealand, Rahimi Ahmad,39, kini dilaporkan semakin pulih namun masih menjalani rawatan dan pemantauan di Hospital Burwood, Christchurch.

Ibunya, Rokiah Mohammad, 65 yang pulang ke tanah air 1 April lalu berkata, perkembangan kesihatan anaknya itu diperolehi setiap hari melalui telefon.

Menurutnya, Rahimi sedang menjalani rawatan fisioterapi di hospital tersebut dan dijaga rapi jururawat yang bertugas.

Dia bersyukur kerana anaknya bertambah sihat walaupun masih mengalami bisa di bahagian kaki akibat tembakan yang terkena pada pinggang kanannya.

"Keadaannya bertambah baik tapi masih tak boleh berjalan. Dia ada mengadu, kakinya masih rasa bisa.

"Dari apa yang diberitahu doktor, Rahimi mungkin mengambil masa beberapa bulan untuk pulih sepenuhnya... paling lama, mungkin enam bulan.

"Bila telefon tu, dia minta nak tukar baju (pakaian hospital) untuk diambil gambar dan kirimkan kepada makcik kerana dia tahu, hari ini wartawan Sinar (Harian) nak datang temubual makcik. Syukur dia semakin sihat," katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini.

17 Mac lalu, Rokiah yang ditemani anaknya, Rosdi Ahmad bersama Exco Kebajikan Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh dan ADUN Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz ke Christchurch bagi melihat perkembangan Rahimi dan rakyat Malaysia terbabit dalam serangan.

ARTIKEL BERKAITAN: Tembakan Christchurch: Mohd Nazril, Rahimi semakin pulih

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Serangan Christchurch: 2,000 sertai solat jenazah ghaib

Menyingkap ketika berada di New Zealand, Rokiah berkata, selepas beberapa hari dia tiba di negara tersebut, Rahimi sudah mula sedar namun tidak boleh bercakap.

"Makcik sampai ja di sana terus ke hospital untuk tengok dia bagi mengetahui keadaan dia pada waktu itu. Masa itu, dia belum sedar dan sepanjang itu, makcik hanya membaca surah Yassin untuknya. 19 Mac, dia mula sedar namun masih tidak boleh bercakap.

"Selepas lebih seminggu berada di unit rawatan rapi (ICU), dia telah dipindahkan ke wad biasa. Masa itu, makcik genggam tangannya dan meminta menggenggam semula tangan makcik. Dia memberi tindak balas dan cuma cakap sakit dan bisa," katanya.

Dia berkata, sepatutnya Rahimi dan keluarganya pulang ke tanah air untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri namun ia bergantung kepada tahap kesihatannya.

"Kalau ikut perancangan, memang dia sekeluarga nak balik raya ini, tapi kena lihat dulu keadaan kesihatannya. Bagi makcik, biar dia sihat dulu baru fikir perkara lain. Kesihatannya lebih penting.

"Makcik ada juga perancangan untuk ke New Zealand sekali lagi tetapi belum buat keputusan lagi. Tapi makcik gembira kerana diberi peluang jumpa anak makcik ketika berada dalam keadaan begitu.

"Terima kasih kepada semua pihak yang membantu termasuk rakyat dari seluruh negara yang datang melawat Rahimi dan memberi semangat kepada kami sekeluarga," katanya.

Rahimi adalah antara tujuh rakyat Malaysia yang dikenal pasti terkena tembakan rambang di dua masjid di Christchurch, New Zealand, 15 Mac lalu.

Rahimi tinggal di Christchurch lebih empat tahun lalu dan bekerja sebagai juruteknik di kilang susu di New Zealand, manakala isterinya, Norazila Wahid, 39 pula menuntut di University of Canterbury.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!