Raja Charles III ikrar 'khidmat sepanjang hayat'
LONDON - Raja Britain, Raja Charles III pada Jumaat melafazkan ikrar 'khidmat sepanjang hayat' dalam perutusan pertamanya selepas menaiki takhta susulan kemangkatan bondanya, Ratu Elizabeth II pada Khamis.
"Sepanjang hayatnya, Duli Yang Maha Mulia Ratu merupakan satu inspirasi.
"Ratu Elizabeth simbol kehidupan yang baik, baginda menepati janji dan kemangkatannya ditangisi. Hari ini, beta meneruskan ikrar baginda untuk berkhidmat sepanjang hayat kepada anda semua,” titah Raja Charles III dalam perutusannya yang disiarkan di televisyen, lapor Xinhua.
Baginda bertitah amat berdukacita atas kemangkatan bondanya dan berkongsi kehilangan yang tidak ternilai itu bersama semua rakyat.
Ratu Elizabeth II, raja paling lama menduduki takhta dalam sejarah Britain, mangkat pada usia 96 tahun di Balmoral, Scotland pada Khamis.
Raja Charles, 73, bakal dimasyhurkan sebagai raja pada Istiadat Pertabalan yang akan diadakan di Istana St James di London, Sabtu.
Baginda mengurniakan gelaran Putera dan Puteri Wales kepada putera sulungnya Putera William dan isteri, Kate Middleton, gelaran yang pernah disandang baginda dan mendiang isterinya Diana sebelum ini.
Raja Charles turut menzahirkan kasih sayangnya kepada anakandanya Putera Harry dan isteri, Meghan Markle yang kini 'menjalani kehidupan di luar negara'. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!