Kedah sokong bangun komuniti Pekan Cina, Pekan Melayu
ALOR SETAR - Kerajaan negeri amat mengalu-alukan segala usaha dan inisiatif dilakukan untuk membangunkan komuniti Pekan Cina dan Pekan Melayu sebagai tempat tumpuan pelancong.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, Jeti Pekan Cina dan Tanjung Chali adalah antara tapak asal Bandaraya Alor Setar berkembang dan bermulanya perkembangan ekonomi masyarakat pada masa silam.
“Sehubungan itu, kerajaan negeri menyokong penuh dan sangat mengharapkan kerjasama dari semua pihak untuk bersama-sama membangunkan tempat-tempat warisan di Kedah.
“Antaranya, seperti Pekan Cina, Pekan Melayu, Masjid Zahir, Medan Bandar dan lain-lain tempat di seluruh di negeri bagi tujuan mempromosikan semua tempat bersejarah ini sebagai kawasan pelancongan,” katanya.
Beliau berkata sedemikian ketika berucap pada Festival Kebudayaan Melodi Sungai Kedah 2022, di sini, pada Jumaat.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Festival Kebudayaan Melodi Sungai Kedah, Datuk Rick Cheng Wooi Seong dan Pengerusi Dewan Perhimpunan Cina Negeri Kedah, Datuk Cheng Lai Hock.
Disebabkan itu, Muhammad Sanusi berpandangan, festival ini adalah amat istimewa kerana ia bukan sahaja yang pertama kali diadakan di Kedah tetapi juga suatu pencetus untuk masyarakat lebih menghargai warisan dan kebudayaan yang diwarisi daripada generasi terdahulu.
Menurut beliau, usaha dan komitmen penganjur menjayakan festival kebudayaan ini sememangnya wajar diberikan penghargaan dan pujian kerana sejarah dan warisan adalah satu bahagian yang sangat penting dalam pembinaan tamadun dan jati diri sesebuah bangsa.
“Justeru, kedua-dua elemen ini perlu kita kekalkan sama ada dalam bentuk fizikal, manuskrip ataupun buka teks serta apa jua medium ilmu sebagai panduan dan kenangan untuk generasi masa kini dan juga pada masa akan datang,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!