PRU15: PBM tanding 14 kerusi Parlimen, DUN
PASIR GUDANG - Parti Bangsa Malaysia (PBM) akan bertanding 14 kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Presiden Pengganti PBM, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, kerusi itu melibatkan tujuh kerusi Parlimen dan tujuh kerusi DUN yang semuanya dimenangi wakil rakyat parti itu pada PRU14 sebelum menyertai PBM.
"Antaranya adalah kerusi Parlimen Ampang dan Tebrau. Kita yakin (calon PBM) akan menang (pada PRU15) berdasarkan sambutan yang diterima menerusi jelajah seluruh negara.
"Rakyat sudah kenal kami kerana (ada antaranya) sudah lama menjadi ahli Parlimen," katanya selepas memberi bantuan kepada 16 keluarga di Tokong Lian Hua San Thai Zhi, Taman Kota Masai di sini pada Sabtu.
Turut hadir Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon yang juga Naib Presiden Kanan PBM dan Pengerusi PBM Johor.
Zuraida berkata, walaupun PBM sebuah parti baharu dan kecil tetapi boleh dianggap kuat kerana didokong wakil rakyat berpengalaman, namun memerlukan gabungan politik untuk bersama dalam PRU15.
Jelas Ahli Parlimen Ampang itu, ini kerana PBM perlu turut serta dalam kerajaan Persekutuan yang akan dibentuk selepas PRU15 nanti.
Ditanya mengenai keputusan PBM akan bergerak solo dalam PRU15 sekiranya BN menolak permohonan menyertai gabungan politik berkenaan, beliau berkata, perkara itu masih terlalu awal untuk diputuskan.
"Saya tidak mahu buat keputusan atas pandangan itu (bergerak solo) kerana apabila sampai masanya kita akan buat keputusan," katanya.
Bulan lalu, media melaporkan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan terdapat enam parti sudah memohon masuk BN.
Bagaimanapun, Presiden UMNO itu dilaporkan berkata, keputusan hanya akan dibuat pada mesyuarat Dewan Tertinggi BN.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!