Kenapa umum ECRL waktu PRK DUN Rantau?
SEREMBAN - Tindakan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng memberi kenyataan bahawa Negeri Sembilan mungkin akan menjadi sebahagian jajaran baharu Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) ketika berkempen dalam PRK DUN Rantau boleh dipersoalkan.
Calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan mendakwa ia melanggar peraturan pilihan raya, namun menyerahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menilainya.
"Dulu kata nak jimat wang kerajaan. Projek ini banyak diperkatakan dan menteri berkaitan juga telah beri kenyataan.
"Bahkan ada yang kata dibatalkan ada pula kata masih dikaji, macam-macam. Tapi, nyatakan pada PRK ini saya rasa menyalahi peraturan pilihan raya. Terpulang pada SPR untuk menilainya,"katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama BN PRK DUN Rantau di Kampung Ulu Kanchong di sini, hari ini.
Terdahulu, Guan Eng ketika berucap dalam ceramah PH di Kuala Sawah, Rantau, memberitahu Negeri Sembilan akan turut mendapat faedah jika projek ECRL diteruskan.
Bagaimanapun Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO menyokong jika apa yang kerajaan lakukan itu dapat memberi manfaat kepada negara dan rakyat.
"Sudah pasti ia dapat memberi pembangunan di negeri ini, jika dilaksanakan. Tapi perlulah ada perancangan teliti. Saya tahu kerajaan nak masukkan Negeri Sembilan sebagai jajaran baru adalah disebabkan kos pengambilan tanah yang masih murah berbanding di Lembah Klang.
"Di Negeri Sembilan kos untuk beli tanah lebih murah sekitar RM40 satu kaki persegi berbanding Lembah Klang yang sudah mencecah RM700 hingga RM800 untuk keluasan sama. Ia boleh jimatkan kos pembinaan secara tidak langsung," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Malaysia dijangka muktamad projek ECRL awal April
Projek ECRL diluluskan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Oktober 2016 membabitkan kos sebanyak RM55 bilion.
Kos itu kemudian dikatakan boleh mencecah RM130 bilion dengan mengambil kira faedah ditanggung daripada pinjaman pembiayaan projek berkenaan.
Pembinaan landasan sepanjang 688 kilometer (km) yang dijadual beroperasi pada 2024 itu akan menghubungkan Pelabuhan Klang di Selangor dan Pengkalan Kubor di Kelantan menerusi jajaran yang melalui negeri di Pantai Timur.
Mengikut perancangan asal, di bawah fasa pertama, jajaran berkenaan akan menghubungkan semua pusat bandar utama di Pantai Timur dan mempunyai 12 stesen penumpang, tiga stesen kargo, tujuh stesen penumpang dan kargo.
Pembangunan fasa kedua pula membabitkan sambungan fasa pertama di Kelantan, dari Kota Bharu ke Pengkalan Kubor dan Selangor, dari Gombak-Serendah-Jalan Kastam (Pelabuhan Klang) dengan jajaran utama 102.3km dan jajaran sisihan 4.5km.
Dalam pembinaan fasa kedua juga, Selangor akan mempunyai laluan paling panjang iaitu 80km dari Gombak ke Pelabuhan Klang berbanding 19km dalam fasa pertama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!