Orang ramai dinasihatkan guna pengangkutan awam ke SNBJ
KUALA LUMPUR - Orang ramai yang menuju ke Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) dinasihatkan supaya menggunakan pengangkutan awam berikutan semua parkir awam di sini dilaporkan telah penuh pada petang Sabtu.
Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur dalam satu hantaran di Facebook berkata, kesemua kawasan parkir di sekitar SNBJ penuh berikutan tiga acara besar yang berlangsung pada hari sama.
"Kesemua tempat meletakkan kenderaan telah penuh berikutan perlawanan akhir Piala FA antara Johor Darul Takzim dan Terengganu, konsert Dewa 19 serta taman tema Euro Fun Park di parkir C SNBJ.
"Pengguna jalan raya yang berhasrat untuk ke SNBJ dinasihat untuk merancang perjalanan serta menggunakan pengangkutan awam seperti transit aliran ringan (LRT) dan bas," menurut hantaran terbabit sekitar jam 5.55 petang Sabtu.
Pada masa sama, JSPT Kuala Lumpur menasihatkan orang ramai supaya mematuhi arahan pegawai dan anggota bertugas untuk memastikan kelancaran aliran trafik.
"Sebarang pertanyaan, maklumat atau aduan lalu lintas boleh disalurkan ke Facebook JSPT KL atau menghubungi balai trafik Jalan Tun H.S Lee di talian 03 2071 9999," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!