MCA realistik hadapi DAP di Pulau Pinang

Wee Ka Siong
Wee Ka Siong
A
A
A

BAYAN LEPAS - Parti MCA bersikap realistik untuk menghadapi Kerajaan Pulau Pinang yang dipimpin Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Presidennya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, kerajaan negeri yang dikuasai parti DAP diakui mempunyai pengaruh besar di Pulau Pinang namun perkara itu tidak mematahkan semangat MCA untuk memberi tentangan hebat kepada parti tersebut.

Menurutnya, sekiranya diberi mandat untuk memenangi satu-satunya kerusi Parlimen yang ditandingi itu, MCA berjanji akan memberi yang terbaik kepada rakyat.

"Kerusi di Parlimen Bayan Baru ini adalah kerusi tradisi dan paling penting untuk MCA. Saya yakin, dengan semangat dan hubungan harmoni antara parti komponen dalam BN, ia akan memberi lembaran baru kepada kawasan Parlimen Bayan Baru ini.

"Kita realistik dan tidak bersifat angkuh untuk berhadapan dengan Kerajaan PH di Pulau Pinang. Jika kita jadi pembangkang pun, tidak apa. Kita buat peringkat demi peringkat kerana pembangkang pun mampu membuat sesuatu," katanya pada sidang akhbar di Majlis Pelancaran Bilik Gerakan MCA Parlimen Bayan Baru dan DUN Jerejak di sini pada Sabtu.

Ka Siong (kiri) menurunkan tandatangan ketika merasmikan Bilik Gerakan MCA Parlimen Bayan Baru dan DUN Jerejak pada Sabtu.
Ka Siong (kiri) menurunkan tandatangan ketika merasmikan Bilik Gerakan MCA Parlimen Bayan Baru dan DUN Jerejak pada Sabtu.

Tambah Ka Siong, bukan sesuatu yang mudah untuk bertanding di kubu kuat DAP namun ia merupakan satu matlamat jangka pendek dan panjang bagi MCA.

"Ada orang kata kerajaan DAP ini agak kuat kerana kita tidak pernah menang mana-mana kerusi, kalau kita nak menang pun, mungkin bermula di beberapa kawasan. Bagi saya, ia boleh dianggap satu matlamat jangka pendek, sederhana dan panjang.

Artikel Berkaitan:

"Jika ditakdirkan kita menang di kawasan ini, bukan bermakna kita akan jadi pemerintah kerana realistiknya, ini adalah kubu kuat PH (khususnya DAP). Tidak apa lah, sebagai pembangkang pun kita ada pengalaman, kita boleh semak dan imbang.

"Kita boleh menjalankan tanggungjawab kita sebagai ahli Parlimen yang mampu melakukan 'check and balance' dalam sebuah demokrasi ini. Kita memang ada pengalaman iaitu BN pernah memerintah, baik di peringkat negeri atau Pusat," katanya.

Tambah Ka Siong, MCA akan menggunakan teori yang pernah digunakan DAP iaitu sebuah masyarakat yang mengamalkan prinsip demokratik, patut ada suara semak dan imbang.

"Saya gunakan teori yang mereka gunakan itu untuk tidak memberi satu kemenangan mutlak tanpa ada pembangkang. Sebab itu, kita melantik penyelaras untuk mendekati rakyat selain dilatih menjadi sebagai sebahagian daripada anggota kerajaan.

"Mereka juga berperanan untuk memberi tekanan kepada kerajaan atau pemerintah bagi mendedahkan sesuatu yang rakyat perlu tahu atau melakukan semak dan imbang untuk memantau perjalanan kerajaan negeri. Saya sendiri pernah jadi pembangkang 22 bulan, itu tiada masalah," katanya.

Mengulas mengenai pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen di Pulau Pinang, beliau yang juga Menteri Pengangkutan berkata, perbincangan sentiasa diadakan antara parti komponen BN termasuk UMNO.

"Kerusi Parlimen kita ada satu tetapi selepas Gerakan tidak lagi bersama kita, sudah tentu kita akan berbincang dengan UMNO, kita pasti akan berentap. Soal siapa (parti), kita akan buat keputusan bersama. Tiada isu.

"Secara logiknya, kita akan mengambil alih kerusi Gerakan (yang dulu), kalau tidak keseluruhan pun, mungkin sebahagian besar yang tertumpu kepada kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk Cina. Kita akan muktamadkan, apa yang penting kita kena buat kerja," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!