KDN arah imigresen ketat kawalan di terminal feri Labuan
LABUAN - Kementerian Dalam Negeri telah mengarahkan Jabatan Imigresen untuk menguatkuasakan kawalan lebih ketat di dua terminal feri di sini ke atas pengembara terutama bagi bukan penduduk Sabah yang ingin ke tanah besar Sabah.
Menteri berkenaan Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, peruntukan sebanyak RM200,000 telah diluluskan untuk tindakan segera seperti menubuhkan kaunter khas bagi bukan penduduk Sabah dan Sabah.
"Kawalan lebih ketat diperlukan bagi memastikan tiada aliran bebas di pintu masuk utama terminal feri ke tanah besar Sabah di jeti-jeti Tanjung Pagar Sipitang, Menumbok dan Jesselton.
"Berdasarkan data, jumlah pengembara dari Labuan yang melakukan perjalanan ke Sabah melalui terminal feri adalah kira-kira 700,000 orang setiap tahun dan menurun sebanyak 50 peratus kepada 350,000 orang semasa pandemik Covid-19.
"Daripada jumlah itu, terdapat bukan penduduk Sabah dan telah ada isu yang diketengah oleh Kerajaan Negeri Sabah mengenai penyalahgunaan aliran bebas di terminal dan ini telah mengakibatkan berlaku keadaan di luar kawalan.
"Lawatan kerja saya hari ini ialah untuk memastikan kesemua terminal diberikan lebih perhatian demi keselamatan pengembara di Sabah dan Labuan... kita tidak pernah tahu (jika aliran bebas berterusan) pengembara yang bukan penduduk Sabah mungkin tinggal melebihi tempoh di Sabah,” katanya selepas melawat terminal feri roll on-roll off (ro-ro) di sini pada Sabtu.Beliau berkata, kawalan lebih ketat adalah bagi memastikan imigresen mempunyai kawalan penuh dalam aliran masuk keluar pengembara melalui terminal feri.
Hamzah berkata, pengembara termasuk penumpang (dalam kenderaan melalui terminal feri ro-ro) perlu menjalani pemeriksaan imigresen.
Beliau berkata, pengembara bukan penduduk Sabah dikehendaki melengkapkan borang 114 sebelum mereka dibenar melakukan perjalanan ke tanah besar Sabah.
"Pasport warga asing terbabit perlu dicap oleh pegawai imigresen sebelum melepasi kaunter imigresen di kesemua terminal dan kawalan lebih ketat ini adalah atas permintaan Kerajaan Negeri Sabah dan saya bersetuju,” katanya. - Bernama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!