KHM nafi dakwaan Kirandeep
KONFEDERASI Hoki Malaysia (KHM) menafikan dakwaan pemain hoki negara, Kirandeep Kaur di laman media sosial berhubung kesukaran dihadapinya untuk melanjutkan pengajian di universiti dan mendapatkan biasiswa.
KHM dalam kenyataan pada Sabtu memaklumkan pihaknya bersama Majlis Sukan Negara (MSN), jurulatih kebangsaan, Nasihin Nubli Ibrahim dan pengurus pasukan, Siti Amarina Ruhani sememangnya mengambil maklum tentang keputusan cemerlang Kirandeep serta sudah menguruskan proses pengajian pemain itu sebaik sahaja tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021.
Menurut KHM, pihaknya bersama MSN turut memantau perkembangan pengajian Kirandeep yang sudah diterima masuk mengikuti program matrikulasi di Gambang pada Mei 2021 sebagai langkah pertama dalam proses untuk beliau melanjutkan pengajian.
"Selain elaun latihan diteruskan, Kirandeep juga diberi kelonggaran serta sokongan dari segi latihan yang dijalankan secara dalam talian serta di pusat matrikulasi Gambang sepanjang tempoh pengajian di Gambang dari Mei 2021 hingga Mei 2022.
"(Kelonggaran) ini merangkumi keputusan Kirandeep untuk tidak mewakili pasukan kebangsaan untuk kejohanan Juara-Juara Asia di Korea (Disember 2021) dan Piala Asia (Januari 2022) atas sebab ingin memberi tumpuan kepada pengajian matrikulasi,” katanya.
Menurut KHM, Kirandeep memohon sendiri kepada Universiti Awam melalui proses Unit Pengambilan Universiti (UPU) dan salinan permohonannya dimajukan kepada Ahli Lembaga KHM pada 12 Mac dan 28 April lepas.
"Ahli Lembaga memberikan maklum balas bahawa segala bantuan yang dapat dibuat akan dijalankan sepertimana dibuat untuk semua atlet kebangsaan.
"KHM sudah membincangkan perkara berkenaan dengan pegawai di Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang memberi maklum balas amat baik untuk memberi perhatian kepada perkara berkenaan," katanya.
KHM melahirkan rasa terkilan dengan kenyataan Kirandeep di laman Twitter pada Khamis lepas dan menganggap ia sebagai satu perkara yang serius memandangkan pelbagai usaha serta bantuan sudah pun dilakukan bagi membantu pemain itu.
"MSN, Kementerian Belia dan Sukan serta KPT mempunyai sistem yang amat terperinci serta menyeluruh untuk memastikan kesemua atlet diberi peluang untuk menyerlah dalam sukan dan akademik.
"KHM juga ingin menyatakan bahawa proses melanjutkan pelajaran adalah sesuatu yang mesti memberi penghormatan kepada prasyarat akademik untuk setiap bidang pengajian serta pencapaian pelajar berkenaan dalam bidang kokurikulum," menurut kenyataan itu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!