JDT juara Piala FA 2022

Reaksi pemain JDT setelah berjaya membolosi gawang gol Terengganu FC pada perlawanan akhir Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu. - Foto Bernama
Reaksi pemain JDT setelah berjaya membolosi gawang gol Terengganu FC pada perlawanan akhir Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

JOHOR Darul Ta'zim (JDT) muncul juara Piala FA 2022 apabila menewaskan Terengganu FC, 3-1 pada perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil sebentar tadi.

Pada aksi tersebut, pasukan Terengganu kendalian Nafuzi Zain membariskan kesebelasan terbaik dengan penjaga gol tinggi lampai Muhammad Rahadiazli Rahalim kembali dipertanggungjawabkan menjaga gawang skuad penyu.

Manakala pengendali JDT, Hector Bidoglio pula, membuat percaturan ampuh dengan trio serangan yang dibarisi Bergson Da Silva, Arif Aiman Mohd Hanapi dan Fernando Forestieri dijadikan sebagai senjata di bahagian serangan bagi merobek gawang TFC.

Perlawanan dilihat seimbang pada awal permainan ditunjukkan kedua-dua pasukan apabila saling melakukan asakan ke kubu lawan masing-masing.

Pemain sayap JDT, Arif Aiman Mohd Hanapi, hampir membuka tirai jaringan pada minit ke-11 namun rembatan yang dilakukannya sekadar mengenai tiang gol pasukan Terengganu.

TFC kemudiannya mendapat peluang untuk memimpin perlawanan pada minit ke-24 menerusi pemain importnya, Tchetche Kipre namun rembatan yang dilakukannya berjaya diselamatkan penjaga gol JDT, Farizal Marlias.

Gol yang dinantikan-nantikan JDT akhirnya hadir pada minit ke-34 menerusi Arif Aiman yang merembat dengan deras untuk meletakkan pasukan di depan sekali gus menyaksikan kedudukan 1-0 kekal hingga wisel penamat separuh masa pertama.

Memasuki babak kedua, Terengganu cuba memperkemaskan corak serangan mereka dalam misi memburu gol penyamaan.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi Terengganu apabila JDT dihadiahkan sepakan penalti selepas Muhammad Rahadiazli melakukan kekasaran keatas Bergson Da Silva.

Peluang itu tidak disia-siakan JDT, apabila Bergson berjaya menyempurnakan sepakan penalti itu pada minit ke-62 untuk meletakkan Harimau Selatan selesa di hadapan dengan kelebihan dua gol.

Bergson meraikan jaringannya ketika membantu JDT menewaskan Terengganu FC di Stadium Nasional Bukit Jalil. - FOTO MOHD HALIM ABDUL WAHID
Bergson meraikan jaringannya ketika membantu JDT menewaskan Terengganu FC di Stadium Nasional Bukit Jalil. - FOTO MOHD HALIM ABDUL WAHID

Tersentak dengan gol tersebut, Terengganu cuba menggandakan asakan dan ia nyata membuahkan hasil apabila Kipre berjaya mengurangkan defisit gol selepas bijak menewaskan Farizal untuk merembat masuk gol pertama skuad penyu pada minit ke-75.

Bagaimanapun, Bergson kembali meletakkan JDT dengan kelebihan dua jaringan selepas bijak menyempurnakan hantaran Mohamadou Sumareh pada minit ke-78 sekali gus kedudukan 3-1 kekal hingga wisel penamat dibunyikan.

Untuk rekod, ini adalah trofi kedua JDT dalam saingan Piala FA selepas kelab itu diswastakan pada tahun 2013.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!