Berhati-hati muat naik, ungkapan kebencian undang ketidakharmonian

Suasana ceria barisan pemain dan kejurulatihan JDT ketika menjulang Piala FA selepas tamat perlawanan Final Piala FA, JDT menentang Terengganu FC di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi. - Foto Bernama.
Suasana ceria barisan pemain dan kejurulatihan JDT ketika menjulang Piala FA selepas tamat perlawanan Final Piala FA, JDT menentang Terengganu FC di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi. - Foto Bernama.
A
A
A

UMUM sudah mengetahui kehebatan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam sukan bola sepak tanah air dan terbukti apabila pasukan tersebut berjaya menjulang Piala FA 2022, malam tadi.

Pasukan berpangkalan di selatan tanah air itu menewaskan Terengganu FC dengan keputusan 3-1 pada aksi yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Namun tidaklah penulis mahu mengulas mengenai perlawanan berkenaan, tetapi mahu menegur sikap segelintir peminat fanatik kedua-dua pasukan ini apabila saling berbalas-balas komen di media sosial menggunakan perkataan tidak sepatutnya mahupun menyentuh soal kenegerian yang tidak enak dibaca.

Menjengah ke laman sosial Facebook, rata-rata peminat bola sepak tanah air sudah meramal nasib JDT yang dijangka menjulang piala kejuaraan untuk kali kedua dalam Piala FA selepas kelab itu diswastakan pada 2013.

Pelbagai reaksi dan komen yang dimuat naik ke status masing-masing, ada yang mengucapkan tahniah, tidak kurang juga yang memerli negeri pantai timur itu.

Seorang pengguna dengan nama Aril memuat naik tangkap layar sekeping gambar dengan ungkapan kebencian terhadap pasukan Terengganu FC dengan menggunakan ikon popular negeri sebagai.

“Dah kalah, pergi kambus muka (pemain) dalam pasir macam penyu kambus telur,” tulisnya.

Perkara seperti ini yang perlu dielakkan. Semangat kesukanan dengan menyokong pasukan kegemaran tidak salah, yang menjadi kesalahan apabila memuat naik status atau kata-kata yang boleh menimbulkan kebencian hingga lupa kita adalah rakyat Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Jadi berhati-hati dengan apa sahaja yang dimuat naik dalam media sosial masing-masing kerana ia bukan sahaja boleh mengundang pergaduhan malah lebih parah mampu mencetuskan keganasan, ketidakharmonian dan memberi kesan kepada sesetengah individu secara emosi.

Lebih memburukkan lagi keadaan, kesan ungkapan kebencian yang kian seiring kemajuan teknologi, membolehkan hasutan ini merebak dalam beberapa klik sahaja.

Apa-apa pun, tahniah kepada pasukan Terengganu FC kerana telah berjuang hingga ke wisel penamat. Sudah adat pertandingan, ada menang ada kalah, namun semua pemain harus dipuji kerana telah mempamerkan persembahan mengagumkan.

Tahniah kepada skuad Harimau Selatan di atas kemenangan bergaya, raikan kemenangan dengan semangat kesukanan. Selamat bercuti kepada rakyat Johor!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!