Barcelona teraju La Liga

De Jong meledak satu gol ketika membantu Barca membenam Cadiz 4-0 dalam aksi La Liga pada Ahad. - Foto Agensi.
De Jong meledak satu gol ketika membantu Barca membenam Cadiz 4-0 dalam aksi La Liga pada Ahad. - Foto Agensi.
A
A
A

BARCELONA memanjat ke tangga teratas La Liga setelah mengalahkan pasukan terbawah, Cadiz 4-0 dalam perlawanan yang disulami insiden kecemasan di tempat duduk penonton.

Skuad kendalian Xavi itu ketika ini mengumpul 13 mata daripada lima perlawanan.

Juara bertahan, Real Madrid, yang memiliki rekod sempurna setakat ini, boleh kembali ke kedukan teratas apabila mereka menentang Real Mallorca.

Barca membuka tirai jaringan menerusi Frenkie de Jong yang meledak gol pada minit ke-55.

Penyerang Poland, Robert Lewandowski menggandakan kelebihan pasukannya 10 minit kemudian.

Lewandowski kini menyumbat enam gol daripada lima perlawanan liga.

Kerancakan aksi kedua-dua pasukan tergendala pada minit ke-82 kerana insiden serangan jantung di tempat duduk penonton.

Penjaga gol Cadiz, Jeremias Ledesma bertindak pantas apabila mengambil 'defibrillator' daripada bangku pemain.

Artikel Berkaitan:

Dia kemudian segera ke tepi padang bagi memberikannya kepada pasukan perubatan di tempat duduk penonton.

Penyokong itu kemudian dibawa ke hospital dengan ambulans.

"Perkara seperti ini berlaku melebihi bola sepak, kita bercakap mengenai nyawa manusia, jadi kami semua bersetuju untuk berhenti.

"Syukur mereka berjaya menyelamatkannya," ujar Xavi.

Bersambung semula aksi, Barcelona menambah dua lagi gol menerusi Ansu Fati pada minit ke-86 dan pemain Perancis, Ousmane Dembele menjadikan 4-0 pada pada penghujung perlawanan.

"Ia bukanlah perlawanan yang hebat, tetapi ia agak bagus," kata Xavi, yang akan membawa Barca ke Bayern Munich bagi aksi Liga Juara-Juara awal pagi Rabu ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!