Gesa kerajaan sedia data terkini golongan rentan
SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) menggesa kerajaan agar bersedia dengan pangkalan data terkini lokasi kediaman golongan rentan berisiko banjir supaya operasi pemindahan mangsa dijalankan secara berkesan.
Setiausaha Wanita PKR Pusat, Loh Ker Chean berkata, kerajaan termasuk kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan perlu mengambil iktibar daripada banjir kilat dahulu.
"Terutamanya banjir di Baling pada Julai lalu yang meragut tiga nyawa termasuk seorang wanita hamil empat bulan.
"Kerajaan perlu bersikap lebih serius dalam persediaan menghadapi kemungkinan bencana alam.
"Wanita PKR menyeru kerajaan agar mengumpulkan data terkini mengenai lokasi kediaman golongan rentan ini supaya operasi pemindahan mangsa banjir dijalankan dengan berkesan," katanya dalam catatan di laman Facebook pada Ahad.
Tambahnya lagi, pihaknya mengambil maklum ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengenai banjir besar yang dijangka melanda beberapa negeri di Semenanjung pada November ini.
Justeru, beliau memberitahu kerajaan sewajarnya memberikan keutamaan kepada pemindahan mangsa terdiri daripada golongan rentan khususnya keluarga yang mempunyai wanita hamil, orang kelainan upaya (OKU) dan warga emas tinggal bersendirian di dalam komuniti.
Beliau menambah, kepimpinan pada peringkat komuniti setempat juga memainkan peranan penting dalam operasi pemindahan mangsa banjir.
"Wanita PKR gesa pemimpin-pemimpin komuniti agar bersedia untuk bertindak dalam hal ini sekiranya kerajaan gagal memberikan maklumat kritikal ini apabila kawasan ditimpa banjir kilat," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!