Dana RM90 juta: Ibarat tulang lama diselongkar semula

Tangkap layar kenyataan Ahmad Fadhli di laman Facebook pada Ahad.
Tangkap layar kenyataan Ahmad Fadhli di laman Facebook pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari menyifatkan isu dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM90 juta yang didakwa masuk ke dalam akaun Pas sebagai modal basi yang diperbaharui semula menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, isu berkenaan telah disolek secukupnya oleh segelintir pihak dengan harapan dapat dijadikan cerita baharu untuk berdepan pilihan raya umum kelak.

“Pada 19 Julai 2018 ketika negara di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH), peguam negara ialah Thommy Thomas, saya bangun bertanya di Dewan Rakyat, mencelah ucapan Yang Berhormat (YB) Damansara (Tony Pua) yang pada masa itu sedang menyenaraikan pihak-pihak yang mendapat wang dari 1MDB. Soalan saya, mana nama Pas? Jawapan beliau ialah saya tiada maklumat, sila tanya Menteri Kewangan (yang pada masa itu ialah Lim Guan Eng).

“Pada 2 April 2019, sekali lagi soalan saya di Dewan Rakyat berhubung isu RM90 juta ini dijawab oleh Timbalan Menteri di jabatan Perdana Menteri (Undang-undang), Hanipa Maidin. Jawapannya masih dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Bahkan beliau berpesan bahawa jangan ada sebarang spekulasi.

“Semua kenyataan-kenyataan itu keluar ketika negara di bawah pentadbiran PH dan jika benar ada dana disalurkan kepada Pas, kenapa tidak disiasat sehingga ke akar umbi? Yang ada ialah sekeping kertas berwarna hitam yang terpaksa ditilik berkali-kali oleh pembacanya di tengah malam kelam,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Ahad.

Terdahulu Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim menerusi kenyataannya mendakwa Pas telah gagal menjelaskan dakwaan editor Sarawak Report, Claire Rewcastle-Brown bahawa parti itu menerima dana RM90 juta dengan menyelesaikan saman fitnah mengenainya di luar mahkamah dan membayar RM1.4 juta kepada wanita itu.

Sementara itu mengulas perkara berkenaan, Ahmad Fadhli berkata, isu penyelesaian saman luar di mahkamah merupakan hak penyaman dan ia boleh ditarik balik.

“Jika pihak plaintif merasakan tiada keperluan untuk saman diteruskan berdasarkan kepada kos dan sebab-sebab kesihatan, ia boleh ditarik balik dan itu tidak membuktikan plaintif atau defendan bersalah.

Artikel Berkaitan:

“Adapun yang berkuasa di dalam negara, kenapa tidak teruskan dengan pendakwaan sivil?

“Realitinya, isu RM90 juta ini tidak lebih daripada wayang opera lama yang ditayang semula. Dalam bahasa lain, ia tulang lama yang sudah lama terperap di tempat pembuangan sampah, hanya haiwan tertentu sahaja yang menyelongkar sampah mencari tulang lama,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!