Warga emas ditemui mati terlentang dalam rumah

Siasatan awal mendapati tiada kesan kecederaan ditemui di tubuh badan mangsa. - Foto 123rf
Siasatan awal mendapati tiada kesan kecederaan ditemui di tubuh badan mangsa. - Foto 123rf
A
A
A

KUALA LUMPUR - Misteri kehilangan seorang warga emas yang tidak kelihatan sejak dua hari lalu terjawab apabila ditemui meninggal dunia dalam keadaan terlentang dikelilingi longgokan sampah dalam sebuah bilik di Projek Perumahan Rakyat(PPR) Batu Muda Jinjang Utara, Sentul di sini pada Ahad.

Mangsa yang tinggal seorang diri itu ditemui oleh anak perempuannya sebelum melaporkan kejadian kepada pihak polis.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, laporan diterima pihaknya kira-kira jam 2.09 pagi.

Menurutnya, anak mangsa menerima panggilan daripada jiran bapanya yang memaklumkan bapanya itu sudah dua hari tidak keluar rumah.

"Sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul yang menjalankan siasatan menemui mayat warga emas itu terbaring dalam keadaan terlentang di tepi katil dan dikelilingi longgokan sampah.

"Mayat dalam keadaan tidak berbaju dan memakai seluar panjang berwarna merah, pihak bomba telah dihubungi untuk membantu mengeluarkan mayat kerana ia terperosok di bawah antara katil dan almari kabinet," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Katanya, siasatan awal mendapati tiada kesan kecederaan ditemui di tubuh badan mangsa.

"Keadaan mayat sudah mula membusuk dan berulat dipercayai telah meninggal dunia melebihi tempoh 24 jam.

Artikel Berkaitan:

"Unit Forensik Polis Kuala Lumpur juga hadir di tempat kejadian untuk membantu siasatan dan mendapati tiada sebarang unsur jenayah ditemui," katanya.

Menurutnya, mayat warga emas itu telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur untuk proses bedah siasat.

"Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR)," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!