Kipre gesa Terengganu bangkit, fokus Liga Super
KAPTEN pasukan Terengganu FC, Tcetche Kipre akur dengan kekuatan yang dimiliki Johor Darul Ta’zim (JDT) sekaligus menyaksikan pasukannya terpaksa kempunan untuk menjulang Piala FA 2022.
Jelas beliau, meskipun pasukannya berjaya mencipta beberapa peluang, namun ia gagal untuk diterjemahkan dengan menjaringkan gol pada perlawanan akhir itu.
“Bagi saya ia mengecewakan kerana kami gagal memenangi perlawanan ini. Apabila anda bermain dalam perlawanan akhir sudah tentu apa yang diinginkan adalah untuk menang.
“Berbanding JDT, mereka sentiasa memanfaatkan peluang yang mereka cipta dan kami pula gagal melakukannya. Bagi saya, JDT dilihat lebih teruja untuk mendapatkan gol berbanding kami,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.
Impian TFC untuk menamatkan kemarau 11 tahun Piala FA tidak kesampaian apabila tewas 1-3 di tangan JDT pada perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada malam Sabtu.
Gol pertama JDT disumbangkan pemain muda mereka Arif Aiman Hanapi, manakala dua gol lagi menerusi tonggak import, Bergson Da Silva dan gol sagu hati Terengganu menerusi Tchetche Kipre.
Dalam pada itu, Kipre berharap kekecewaan gagal menjulang Piala FA ini dapat dilupakan dengan kadar segera memandangkan masih ada satu lagi misi yang belum selesai iaitu bergelar naib juara Liga Super.
“Kami ada satu perlawanan selepas ini yang dijadual berlangsung pada Rabu nanti menentang Penang FC.
“Jadi saya harap semua pemain dapat lupakan kekalahan ini dan fokus untuk perlawanan seterusnya,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!