Selangor sedia kerjasama banteras penipuan dalam talian
BATU CAVES - Kerajaan Selangor sedia bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi kes penipuan dalam talian yang membimbangkan di negeri ini.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, selain menasihati orang ramai lebih berhati-hati, lebih banyak program keselamatan siber juga akan dilaksanakan pada tahun depan.
"Selepas kita menumpukan perhatian untuk kumpul dan analisa data, isu keselamatan siber akan diberikan perhatian dalam projek Negeri Pintar menjelang tahun depan.
"Ini mungkin dapat menghalang kecurian data melalui pengambilan data secara tidak sah oleh pihak tertentu yang menjurus kepada aktiviti penipuan yang berleluasa," katanya ketika ditemui di Karnival Ekstrem Gua Damai di sini pada Ahad.
Pada Sabtu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Selangor, Asisten Komisioner Azman Ali mendedahkan sejumlah RM92.8 juta kerugian dicatat dalam tempoh sembilan bulan sejak Januari di Selangor.
Sepanjang tempoh itu, kes penipuan menyumbang 76.9 peratus daripada rekod jenayah komersil negeri.
Sejumlah 2,011 kes adalah penipuan dalam talian, manakala 601 kes penipuan bukan dalam talian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!