Zionis lulus projek jalan pintas di Nablus
RAMALLAH - TEBING BARAT. Pihak berkuasa Israel telah meluluskan cadangan pembinaan jalan pintas yang menghubungkan penempatan haram Yahudi di utara Tebing Barat yang diduduki.
Keputusan itu kononnya sebagai penyelesaian kepada masalah trafik, selain memudahkan pendatang Yahudi bergerak dengan selesa dan selamat.
Namun pengkritik melihat langkah itu bakal meningkatkan lagi ketegangan di wilayah tersebut.
Menurut laporan media berbahasa Hebrew, Kementerian Pertahanan Israel telah memberi persetujuan agar projek berkenaan dijalankan di atas tanah Palestin di perkampungan Huwwara berhampiran Nablus.
Kelulusan itu diumumkan Majlis Yesha, sebuah kumpulan yang mewakili lebih 300,000 penduduk Yahudi di Tebing Barat. Sumber mengesahkan, jalan pintas berkenaan bermula dari Persimpangan Tapuah sehingga ke Persimpangan Yitzhar dan memendekkan masa perjalanan penduduk Yahudi di penempatan haram tersebut.
Selain Huwwara, tanah di perkampungan Beita turut dijadikan laluan pintas menghubungkan penempatan haram Yahudi. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!