Pengajian percuma program agromakanan untuk anak muda

Program persijilan latihan pertanian yang tidak mengenakan sebarang yuran pengajian kepada pelajar.
Program persijilan latihan pertanian yang tidak mengenakan sebarang yuran pengajian kepada pelajar.
A
A
A

PUTRAJAYA - Sebanyak sembilan bidang pengajian ditawarkan secara percuma kepada belia berusia 18 hingga 25 tahun yang berminat dalam menceburi bidang agromakanan.

Setiap program itu dijalankan dengan berteraskan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (SPKP).

Pengarah Bahagian Pembangunan Kapasiti dan Latihan Pertanian (BPKLP), Hussin Mahmud berkata, bidang pengajian yang ditawarkan meliputi pensijilan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap satu hingga tiga dan Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) tahap empat.

“Kursus yang ditawarkan adalah dalam bidang tanaman, pemasaran, pengeluaran makanan (pemprosesan), ternakan air tawar, akuakultur marin, ternakan poltri, ternakan ruminan, teknologi perikanan tangkapan dan pengeluaran padi,” katanya.

Hussin Mahmud
Hussin Mahmud

Menurutnya, semua kursus yang ditawarkan di bawah BPKLP tiada dikenakan yuran pengajian. Malah, pelajar turut diberikan elaun RM200 hingga RM300 sebulan sehingga tamat tempoh pengajian selain penginapan dan makan serta minuman disediakan.

“Kursus ini memfokuskan 30 peratus teori dan 70 peratus latihan amali, manakala kurikulum pembelajaran disemak setiap lima tahun yang turut membabitkan penglibatan industri.

“Jadi tidak timbul isu kerana graduan kita adalah memenuhi keperluan industri pada masa kini,” tambahnya.

Artikel Berkaitan:

Ujar beliau, teknologi terkini di dalam sektor agromakanan turut digunakan semasa sesi pengajian agar graduan BPKLP kompeten selari dengan peredaran zaman.

Jelasnya, kualiti penyampaian latihan telah dipertingkatkan bagi menambahbaik kemudahan pengajaran dan pembelajaran yang terkini seperti model kilang tanaman (IoT), closed house ternakan dan tanaman, penggunaan dron serta kolam pembelajaran akuakultur.

Kaedah teknologi

Menurut Hussin, penggunaan teknologi dalam pembelajaran turut menarik minat lebih ramai pelatih.

“Rata-rata anak muda berminat mengaplikasikan teknologi dalam bidang agromakanan. Ia bukan sekadar memudahkan, malah lebih menjimatkan kos iaitu tidak memerlukan ramai pekerja,” katanya.

Tambah beliau, terdapat 14 pusat latihan bertauliah di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) di seluruh negara.

“Antaranya, Institut Teknologi Unggas di Masjid Tanah, Melaka bagi bidang ternakan poltri; Kolej Perikanan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, Perak (akuakultur dan teknologi perikanan tangkapan) dan Pusat Latihan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Serdang, Selangor bagi kursus pemprosesan makanan,” katanya.

 Subsektor agromakanan mampu memberi pulangan lumayan kepada graduan BPKLP menjadi usahawan dalam sektor ini.
Subsektor agromakanan mampu memberi pulangan lumayan kepada graduan BPKLP menjadi usahawan dalam sektor ini.

Beliau berkata, kesemua program BPKLP bertujuan untuk menggalakkan generasi muda melibatkan diri dalam bidang agromakanan melalui penggunaan teknologi terkini bagi meningkatkan kualiti dan produktiviti subsektor agromakanan.

Ia selaras dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mahu tumpuan diberikan terhadap pembangunan sektor itu bagi mengurangkan kebergantungan keperluan makanan rakyat Malaysia terhadap makanan import.

“Kursus jangka pendek turut ditawarkan kepada kumpulan sasar bagi meningkatkan pengetahuan kemahiran dan pengetahuan berdasarkan bidang pengkhususan masing-masing yang dikendalikan oleh agensi di bawah MAFI,” katanya.

Syarat minimum

Mengulas mengenai syarat kemasukan SKM, Hussin berkata, BPKLP menetapkan syarat minimum agar lebih ramai individu yang mempunyai minat dalam bidang agromakanan berpeluang untuk menyertainya.

“Pelatih disyaratkan boleh membaca, menulis dan mengira, sihat tubuh badan selain mestilah warganegara Malaysia,” katanya.

Menurutnya, permohonan boleh dibuat sepanjang tahun di laman sesawang https://www.mafi.gov.my/ blkp.

Permohonan dibuka sepanjang tahun tetapi pengambilan dibuat dua kali setahun iaitu Mac dan September.

Ditanya mengenai sasaran bagi pengambilan September ini, beliau berkata, pihaknya menjangka 600 pelatih baharu di lima pusat latihan kerana sebahagian pusat latihan tidak dapat menerima pelatih disebabkan kerja naik taraf.

Menurut Hussin, subsektor agromakanan memberi pulangan lumayan kepada graduan BPKLP menjadi usahawan dalam sektor ini.

“Ramai pelatih kami yang mengusahakan sektor ini telah menikmati hasil lumayan antara RM4,000 sebulan sehingga puluhan ribu ringgit bagi setiap pusingan,” katanya.

Tegasnya, stigma negatif terhadap sektor ini seharusnya perlu dihapuskan.

“Jika ia benar-benar diusahakan mengikut jalan yang betul, insya-ALLAH sektor ini tidak akan menghampakan. Sebagai contoh, kursus poltri dan ruminan menjadi pilihan utama pelatih kerana potensi besar.

“Lagi pun industri ini sudah beralih kepada konsep closed house yang mana reban dan kandang dikawal sepenuhnya oleh mesin. Ini sangat menjimatkan,” katanya.

Sejak tahun 2004, BPKLP telah melahirkan 7,875 graduan SKM dan DKM dan 22,157 individu menyertai kursus jangka pendek sepanjang penganjurannya.

Syarat permohonan dan kemudahan:

Warganegara Malaysia.

Berumur 18 hingga 25 tahun.

Boleh membaca, mengira dan menulis.

Sihat tubuh badan. Yuran pengajian percuma.

Elaun RM200 hingga RM300.

Penginapan disediakan.

Makan dan minum disediakan.

Permohonan dibuka sepanjang tahun.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!