Jualan Murah Keluarga Malaysia boleh dilaksana secara mobil

Annuar ketika meninjau program Jualan Murah Keluarga Malaysia di pasar raya Bataras, Sembulan, Kota Kinabalu.
Annuar ketika meninjau program Jualan Murah Keluarga Malaysia di pasar raya Bataras, Sembulan, Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Jualan Murah Keluarga Malaysia yang dilaksanakan di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) juga boleh diperluas ke kawasan pedalaman menerusi program secara mobil.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, walaupun program jualan murah ini dilakukan di premis secara tetap tetapi ia boleh juga dimodifikasi untuk di bawa ke kawasan pedalaman.

"Kalau nak buat modifikasi selanjutnya nak tukarkan kepada satu program mobil sekali sekala boleh. Pemimpin tempatan misalnya boleh bekerjasama dengan pembekal untuk melakukan jualan murah di luar.

"Kalau di Sabah, jika ada kesesuaian pemimpin tempatan dibenarkan untuk melakukan secara fleksibel, tidak semestinya dalam premis-premis kekal ia boleh dilaksanakan.

"Misalnya jika ada majlis, adakan satu sudut jualan murah tetapi kena berbincanglah dengan pembekal contohnya 10 barangan yang dijual untuk sehari dibolehkan," katanya kepada pemberita ketika meninjau Program Jualan Murah Keluarga Malaysia di pasar raya Bataras, Sembulan, di sini, pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika ditanya jika program itu boleh dibawa ke pedalaman berikutan kesukaran rakyat di kawasan itu untuk menikmati Jualan Murah Keluarga Malaysia di premis yang telah ditetapkan.

Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi itu bagaimanapun menjelaskan, buat masa ini Jualan Murah Keluarga Malaysia itu dilakukan di setiap satu DUN dengan perbelanjaan RM80 juta.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Annuar berkata, program itu masih perlu ada penambahbaikan termasuk dari segi jumlah kedai yang setakat ini hanya antara 50 hingga 60 peratus.

Artikel Berkaitan:

"Kita telah berikan panduan menjelang 15 September ini kita mahu di semua 639 tempat dan 20 kampus perlu dilaksanakan.

"Kita beri sedikit kelonggaran kalau tidak secara tiap minggu, dua minggu sekali boleh diadakan sama ada satu hari atau dua hari tiap-tiap minggu, yang penting di semua kawasan DUN ada satu kedai," katanya.

Katanya lagi, hebahan juga perlu dilakukan bagi memastikan orang ramai tahu mengenai maklumat seperti diskaun yang diberikan menerusi jualan murah ini.

"Sebab lain tempat, lain barangan yang diberikan diskaun. Diskaun 20 peratus di sesetengah tempat kita benarkan untuk pilih sendiri, apa yang popular, yang lazimnya diperlukan pembeli. Tidak terhad kepada ayam atau beras saja kerana ada 28 barang diberikan diskaun.

"Mungkin kita boleh tingkatkan lagi pemberitahuan bila jualan murah dilakukan, apa barang yang dijual dan diskaun apa yang diberikan serta dipamerkan lebih jelas lagi," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!