Polis lengkapkan siasatan kes babit selebriti terkenal
SEREMBAN - [DIKEMAS KINI] Polis Negeri Sembilan sedang melengkapkan siasatan kes membabitkan dua laporan dibuat ke atas seorang selebriti terkenal yang dikaitkan dengan jenayah amang seksual.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ruslan Khalid turut mengesahkan kedua-dua laporan tersebut dibuat di Seremban pada bulan ini melibatkan pengadu berusia 17 tahun.
"Buat masa ini siasatan selari dijalankan bersama Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.
"Pihak polis sedang melengkapkan siasatan dan perkembangannya akan dirujuk ke pihak polis Bukit Aman untuk dikemukakan pula ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Dalam masa sama, beliau turut meminta mana-mana pihak tidak mencetuskan sebarang perkara yang boleh mengganggu siasatan dijalankan pihaknya.
"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan dan mendatangkan fitnah kepada mana-mana pihak serta menyebabkan kegusaran kepada masyarakat," jelasnya.
Media sebelum ini melaporkan polis sudah menerima enam laporan polis setakat ini ke atas seorang selebriti yang dikaitkan dengan kes jenayah amang seksual terhadap remaja lelaki.
Empat laporan polis dibuat di Selangor manakala dua lagi dibuat mangsa di Negeri Sembilan.
Suspek berusia 40-an itu direman selama enam hari hingga 14 September ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!