PRU15: Salahuddin sedia berpindah kerusi Parlimen
JOHOR BAHRU - Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub sedia bertanding di mana-mana kerusi Parlimen di negeri ini pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Menurutnya, beliau akan akur sekiranya pucuk pimpinan Amanah mahukan demikian dan sedia melepaskan kerusi Parlimen Pulai.
"Saya masih lagi Ahli Parlimen Pulai dan akan terus memberikan khidmat kepada penduduk di kawasan saya. Ini adalah tanggungjawab saya kepada mereka.
"Sama ada saya bertanding di kerusi yang sama, terpulang kepada parti untuk menentukan. Kadang-kadang kita perlu bertukar ke kerusi lain tetapi sekarang saya masih menjalankan tugas dan tanggungjawab," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas sesi dialog berkenaan kesesakan lalu lintas di Tambak Johor dan LinKedua, Taman Perling di sini pada Ahad.
Pada PRU14, Timbalan Pengerusi UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed buat pertama kali kalah di Parlimen Pulai dalam pertembungan empat penjuru yang menyaksikan Salahuddin menang dengan majoriti 28,924 undi.
Salahuddin berkata, Amanah bercadang untuk bertanding sekurang-kurangnya tujuh kerusi Parlimen di Johor pada PRU15.
Menurutnya, perbincangan mengenai perkara tersebut masih berjalan dengan pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.
"Pada PRU14, kita hanya bertanding dua kerusi Parlimen iaitu di Pulai dan Parit Sulong. Pada PRU15 kita mahu tanding enam atau tujuh kerusi Parlimen," katanya.
Berkenaan kerjasama politik antara Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan PH dalam menghadapi PRU15, beliau berkata, Amanah terbuka untuk menerima mereka.
"Di Johor kita ada kerjasama yang baik dengan Muda menerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebelum ini. Hasrat mereka untuk bekerjasama dengan PH perlu melalui proses yang betul," katanya.
Tambah beliau, mana-mana parti yang ingin bekerjasama dengan PH untuk PRU15 juga perlu melalui proses yang sama.
Menyentuh tentang masalah kesesakan lalu lintas tersebut, beliau akan membawakan isu tersebut ke Parlimen selain menggesa kerajaan agar menyalurkan peruntukan menerusi Bajet 2023 bagi menyelesaikan masalah itu.
Semasa PH menjadi kerajaan, beliau berkata, pihaknya sudah menyediakan kertas kerja untuk menyelesaikan masalah tersebut di dua pintu masuk berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!